Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Selepas sahur, saya selalunya tak sempat berus gigi atau berkumur. Jadi kadang-kadang semasa berpuasa saya ada rasa tertelan kuah kari atau sos cili dengan air liur. Walaupun tak sempat berkumur, saya masih sempat minum air 2-3 cawan sebelum azan Subuh. Dikira batal ke puasanya macam tu?
Satu lagi, katakan dalam 3 tahun lepas ada tertinggal puasa 5 hari. Hanya pada tahun lepas ada kesedaran untuk ganti puasa tu tapi cuma sempat buat selama 2 hari dan juga dah bayar fidyah sebelum masuk Ramadan tahun ni. Adakah kita boleh sambung ganti 3 hari baki tu dan bayar fidyah sekali lagi atau kena ulang ganti kelima-lima hari tu semula?
Terima kasih.
Jawapan
Bagi menjawab soalan 1:
“Sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur, tidak membatalkan puasa sekiranya susah membeza dan meludahkannya kerana ada halangan dan tanpa kecuaiannya. Jika tiada kesulitan sedemikian, puasanya batal disebabkan kecuaiannya.”
(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/78)
Berdasarkan soalan, keadaan tertelan (tidak sengaja) sisa makanan yang susah untuk dibezakan dan meludahkannya (kuah kari dan sos cili yang telah bercampur dengan air liur) tanpa kecuaian (memastikan tiada sisa makanan di mulut dengan minum air untuk membersihkan mulut sebelum azan subuh) adalah tidak membatalkan puasa.
Bagi menjawab soalan 2:
Mengqadhakan puasa merentasi tahun sehingga sampai ke bulan Ramadhan seterusnya tidak dibolehkan. Inilah yang dilakukan oleh generasi Sahabat yang akan mengqadhakan puasa sebelum datangnya bulan puasa seterusnya seperti Saidatina Aisyah dan lain-lain.
Imam al-Ramli menjelaskan jika seorang itu dengan melewatkan ganti puasa tanpa sebarang keuzuran dan tidak menggantikannya sehingga tiba bulan Ramadan seterusnya, itu adalah satu perbuatan yang berdosa dan dia wajib menggantikannya serta membayar fidyah secupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.
(Rujuk Nihayah Al-Muhtaj, 3/195)
Berdasarkan soalan, tidak disyaratkan puasa qadha’ untuk dilaksanakan dalam tahun yang sama. Oleh itu, dibolehkan untuk terus menyambung qadha’ puasa bagi 3 hari yang berbaki.
Manakala pembayaran fidyah mempunyai kaedah untuk penggandaan secara tahunan seperti berikut:
RM 2.00 / RM 4.00 / RM 6.00 (mengikut jenis beras yang dimakan) X 3 hari X 3 tahun = JUMLAH FIDYAH
Ini bertepatan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 pada 16 Januari 2001 yang telah sebulat suara membuat keputusan bahawa:
Harus menggunakan 2 kaedah:
Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun.
Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah.
Oleh yang demikian, apabila seseorang yang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasanya pada tahun semasa dan kemudian memasuki bulan Ramadan yang berikutnya, maka adalah digalakkan untuk menggandakan bayaran fidyahnya.
Sekian, terima kasih.