Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan, tadi ketika sy baru balik drpd kampung, sy mendapati di rumah sy terdapat banyaknya najis tikus, jadi sy pun mengambil dan membuang najis tersebut dngn mnggunkn tisu kering, tetapi slps itu bekas najis tersebut di lap dngn kain basah, jadi apakah najisnya telah tersebar? Jika sudah tersebar hampir seisi ruangan rumah apakh ianya dimaafkan kerana sy rasa hampir seluruh kawasan rumah sy dilap dengn mggunkn kain tersebut.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan:
1) Tindakan membuang najis tikus hanya dengan menggunakan tisu dan dilap dengan kain basah sahaja adalah tidak dianggap sebagai menyucikan najis dan ianya tidak sah. Oleh itu, lantai tersebut adalah kekal bernajis. Cara yang betul bagi menyucikan tempat yang terkena najis adalah dengan membuang terlebih dahulu ain najis (najis tikus) tersebut dengan menggunakan tisu atau kain bersih sehingga hilang najis itu. Kemudian dialirkan/tuang air ke atas kawasan yang terkena najis itu sekadarnya dengan air mutlak, iaitu air itu mengalir di tempat terkena najis tadi dan dikeringkan kawasan tersebut dengan menggunakan kain atau mop bersih yang lain sehingga tiada kesan bau dan warna. Setelah proses itu dilakukan, maka kawasan yang terkena najis telah bersih dan suci daripada najis.
Sekian, terima kasih.