Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum mufti, Saya hendak bertanya adakah batal puasa jika saya memakai sarung seperti kondom di zakar kerana zakar saya selalu keluar air kencing yg menitik dan menyebabkan saya tidak boleh menunaikan solat kerana pakaian sudah terkena najis.Saya selalu basuh sarung tersebut sebelum memulakan solat. Adakah memakai sarung tersebut sama seperti memasukkan sesuatu ke dalam rongga yg terbuka?
Jawapan
Secara umumnya, terdapat beberapa perbezaan dan persamaan antara ibadah solat dan puasa. Di antara perbezaan antara ibadah solat dan puasa adalah perkara yang membatalkan solat melibatkan sesuatu yang keluar dari rongga, manakala perkara yang membatalkan puasa melibatkan sesuatu yang memasuki ke dalam rongga.
Berkenaan soalan di atas, jika sarung yang disarung di bahagian zakar hanya meliputi kawasan luar zakar dan tidak memasuki rongga atau lubang zakar atau seumpamanya, maka puasa Tuan adalah sah. Memakai kondom tidak termasuk dalam perkara memasukkan sesatu ke dalam rongga.
Selain itu, Tuan perlu mengikut hukum-hakam yang berkait dengan daim al-hadas, iaitu orang yang berterusan hadasnya bagi melakukan ibadah solat. Antaranya adalah bersuci dan berwuduk bagi setiap solat fardu yang ingin dilakukan.
Sekian, terima kasih.