BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum mufti,  saya ingin bertanyakan tentang soalan di bawah;

Soalan 1:

Ada tetamu perempuan datang ke rumah saya & dalam keadaan haid. Beliau makan di meja makan dan bersantai di sofa dan tertidur sebentar diatas karpet. Ketika beliau bangun dari tidur, saya perasan yang terdapat kesan haid pada seluar beliau. Tiada kesan pada karpet & sofa ataupun kerusi meja makan.

Soalan saya, perlukah saya mengangkat hadas pada setiap tempat beliau duduk sebelum itu. Jika YA, bagaimanakah cara mengangkat hadasnya?

 

Soalan 2:

Jika tercampur pakaian yang terkena haid bersama pakaian lain didalam mesin basuh. Sebab sebelum itu tak tahu pakaian itu terkena haid dan cuma tersedar ketika melihat tompokan darah pada cadar 2-3 jam selepas merendam pakaian tadi. 

Saya mengangkat hadas 1 per 1 kesemua pakaian tadi disebabkan was-was. Ada kenalan cakap cukup jika di masukkan air bersih ke atas pakaian dalam mesin basuh dan niat hadas. Benarkah? Mohon penjelasan tentang cara basuhan & hukumnya. 

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan,

1. Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu barang itu terkena najis melalui ain, warna dan rasa. Penyucian ke atas barangan yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najis jelas kelihatan seperti tahi, darah, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan. Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disucikan. Begitu juga dengan konsep perpindahan najis. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disucikan dan hanya perlu dibersihkan jika perlu.

2. Membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh automatik adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Kenyahwujudan najis pada pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh itu sewajarnya telah dianggap bersih dalam konteks taharah sebagai syarat sah ibadat solat, bukan sekadar menghilangkan kotoran najis (izalah al-najasah) semata-mata. Sehubungan itu, baju yang dibasuh bersekali dengan pakaian terkena najis turut bersih dan suci dan boleh dibawa solat.

Walau bagaimanapun, adalah disarankan agar pakaian yang terkena najis dihilangkan atau dibersihkan najisnya terlebih dahulu dan dibasuh dengan dialirkan air mutlak pada tempat yang terkena najis. Seterusnya boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk dibasuh bersama-sama dengan pakaian yang lain.

Untuk maklumat lebih lanjut, puan boleh merujuk  garis panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor di pautan berikut: https://www.muftiselangor.gov.my/2024/01/17/garis-panduan-penggunaan-mesin-basuh/

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26

message user image