BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Dalam situasi seorang pekerja kilang yang menaiki bas untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja yang jauh. Jika shif bekerja pada waktu pagi, bas akan bertolak balik ke rumah dalam pukul 7.20 malam dan sampai ke rumah dalam pukul 9 malam. Ini bermakna  waktu maghrib akan terlepas dan perlu diganti pada waktu lain. Adakah dikira berdosa meninggalkan sembahyang sebab bas kilang memang tak akan berhenti untuk solat maghrib. Adakah wajib juga melakukan solat ketika berada di dalam bas?Minta pencerahan. Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, solat merupakan kewajipan bagi setiap muslim yang telah cukup syarat wajib seperti Islamberakal, baligh dan dalam keadaan suci (bukan haid).

Begitu juga, setiap solat juga telah ditentukan waktu-waktu untuk dikerjakan padanya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 103: 

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

Di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah, para ulama meletakkan beberapa keadaan seseorang itu tidak berdosa melewatkan solat sehingga melepasi waktunya, antaranya:

  • Tidur, jika tidur sebelum waktu solat.
  • Lupa
  • Jamak solat.
  • Paksaan
  • Takut terlepas waktu wuquf di Arafah.
  • Menyelamatkan perkara yang dimuliakan syarak daripada rosak dan binasa.    

Oleh itu, solat yang ditinggalkan tanpa ada sebarang keizinan syari' adalah berdosa bahkan ia wajib digantikan semula pada waktu-waktu yang lain. Solat merupakan hak Allah SWT dan pekerjaan adalah hak (tanggungjawab) kepada diri sendiri dan keluarga. Justeru, apabila berlaku pertembungan antara hak Allah dan hak makhluk, maka hak Allah wajib diutamakan. Rasullullah SAW bersabda:

إنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، ولِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، ولِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا

Maksudnya : Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk diri kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak. (Riwayat al-Bukhari)

Kesimpulannya, hak Allah SWT perlu diutamakan dalam segala apa jua keadaaan jika ia bertembung dengan hak diri sendiri seperti solat. Justeru, tuan sebaiknya merancang perjalanan pulang dan masa yang boleh menyebabkan solat itu dikerjakan pada waktunya, sekiranya mampu untuk pulang lewat maka sebaiknya tuan melewatkan waktu pulang agar solat tersebut dilakukan dalam waktunya. Atau berhenti di pertengahan jalan bagi menunaikan solat Maghrib.

Selain itu, tuan juga boleh menaiki kenderaan sendiri supaya mudah untuk merancang perjalanan pergi dan pulang tanpa menghalang tuan dari melakukan solat pada waktunya. Sekiranya waktu terhad, boleh solat bersendirian dan memendekkan bacaan dalam solat dengan memilih surah-surah lazim disamping menyempurnakan rukun qauli dan fi’li. Tambahan pula, tuan boleh merancang dan berbincang secara baik sesama pekerja muslim yang lain kepada pihak pengurusan agar memberi peluang dan ruang kepada orang Islam menunaikan solat. 

Adapun mengikut situasi tuan, sekiranya tidak dapat tidak, hendaklah solat di dalam bas sebagai solat menghormati waktu namun ianya tidak menggugurkan kefarduan solat tersebut dan tuan perlu menggantikannya setelah itu. Namun, sebaiknya tuan melakukan setiap solat fardu pada waktu yang telah ditetapkan agar rezeki yang tuan cari lebih diberkati. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 21

message user image