Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum , ustaz/ustazah
Saya nak bertanya.
Kalau kita kerja di mana-mana kedai runcit atau supermarket. Kita terlibat dalam jual
Air nutrimalt dan Air malta yang tiada tanda halal , dan yang di keluarkan di syarikat yang mengeluarkan air arak.
Saya kerja , terlibat dengan jualan air , susun - susun air dan bawak turun air tu dari lori , dan mengira stock air. ( Air Nutrimalt dan Air Malta )
Adakah gaji yang saya dapat tu halal ya ustaz? ,
bila terlibat dengan air seperti itu ?
Jawapan
Dalam Islam, kita dituntut untuk menjauhi perkara yang haram, termasuklah produk yang mengandungi unsur haram seperti arak dan bahan-bahan yang memabukkan. Walaupun dalam sesetengah keadaan sesuatu produk itu tidak mengandungi arak secara langsung, isu yang lebih besar timbul apabila ia dikeluarkan, dipasarkan, atau dibungkus oleh syarikat yang terlibat secara langsung dalam industri arak.
Prinsip berhati-hati (iḥtiyāṭ) dan menjauhi perkara syubhah merupakan satu pendekatan yang sangat dianjurkan dalam Islam. Usaha untuk menghindari sebarang bentuk keterlibatan walaupun secara tidak langsung dengan perkara yang haram merupakan satu tanda kepekaan terhadap nilai taqwa.
Air seperti Nutrimalt dan Malta bukan arak secara zahir (tidak memabukkan, tidak melalui proses fermentasi alkohol sepenuhnya), tetapi produk ini sering dipasarkan dalam kategori minuman berunsur malt dan ada yang meniru gaya promosi arak. Dalam banyak pandangan ulama kontemporari, produk seperti ini diberi status syubhah, dan menjadi haram jika:
Dipromosi sebagai pengganti arak
Digunakan sebagai pintu masuk kepada budaya arak
Dikeluarkan oleh syarikat arak
Memandangkan produk ini tergolong di dalam produk yang syubhah maka gaji yang diperoleh daripada pekerjaan seperti ini dikira syubhah.
Dalam keadaan ini adalah sangat digalakkan agar terus berusaha mencari pekerjaan yang lebih bersih daripada unsur syubhah dan lebih menepati prinsip halal secara menyeluruh. Ini selari dengan hadis yang diriwayatkan daripad al-Hassan Bin Alii bahawa Nabi ﷺ telah bersabda:
Maknanya: Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu kepada perkara yang tidak meragukanmu. (Riwayat al-Tirmizi)
Kesimpulannya, kepekaan terhadap sumber pendapatan yang diyakini halal bukan sahaja mencerminkan kualiti iman seseorang, bahkan menjadi asas kepada keberkatan hidup dan doa yang mustajab.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.