Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Mufti.
saya telah membayar fidyah dengan memilih bayaran tidak berganda ,Kiraan bermula dari puasa yang ditinggalkan
semenjak saya masih bersekolah sehingga dewasa. Saya telalu khilaf dengan perkara wajib ini. Sekarang ini saya berusaha berpuasa
tetapi sehingga saya masih belum habis menggantikan puasa saya. dan saya berusaha untuk berpuasa selagi mampu.
Soalan saya adakah fidyah saya telah selesai dan tidak berhutang. sbb saya hanya kira puasa yang ditinggalkan darab dengan harga yang ditetapkan
(Kiraan tiada gandaan)
Semoga persoalan saya terjawab.
Sekian terimakasih.
Jawapan
Alhamdulillah atas hidayah yang Allah SWT berikan kepada Puan untuk bertaubat. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati.
Antara syarat wajib puasa adalah baligh. Jika ketika Puan berada di zaman sekolah masih belum baligh, adalah tidak berdosa jika tidak puasa. Namun, jika ketika umur tersebut telah baligh dan meninggalkan puasa ia adalah berdosa dan hendaklah menggantikan puasa tersebut. Jumlah hari puasa yang wajib diganti adalah sebanyak hari yang ditinggalkan tanpa ada penggandaan.
Manakala pengiraan fidyah yang perlu dibayar adalah bergantung kepada jumlah hari puasa yang ditinggalkan. Namun Puan boleh membuat pilihan sama ada hendak membuat kiraan fidyah secara berganda atau tidak berganda berdasarkan kepada kemampuan Puan. Ini sebagaimana keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 pada tahun 2001 yang telah sebulat suara membuat keputusan bahawa harus menggunakan dua kaedah:
Puan boleh membuat kiraan berdasarkan kalkulator pengiraan fidyah yang disediakan di dalam laman rasmi pihak Lembaga Zakat Selangor dan membuat pembayaran secara dalam talian dipautan berikut sila link -----> Kiraan Fidyah
Puan juga digalakkan untuk memilih kadar fidyah berdasarkan kepada jenis beras yang biasa dimakan iaitu: RM2 sehari bagi beras Super Special Tempatan lima peratus, RM4 sehari bagi beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni atau beras wangi atau RM6 sehari bagi beras basmathi/beras Jepun atau beras merah.
Contoh pengiraan ringkas dengan andaian tidak berpuasa selama 30 hari dari tahun 2014 hingga 2023, dan bayaran fidyah tidak berganda sebanyak RM2 sehari:
30 hari x 10 tahun x RM2 = RM600
Bayaran fidyah secara berganda bagi yang berkemampuan adalah suatu saranan yang digalakkan dan bukan suatu kewajipan. Berkemampuan bermaksud tidak membebankan atau menyebabkan Puan dalam keadaan menyusahkan sekiranya membayar secara berganda.
Sekian, terima kasih.