BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya. Saya musafir ke Padang Indonesia ketika bulan Ramadhan. Pada hari pertama di Padang, saya berbuka puasa pada jam 6.20. Apabila saya menyemak semula waktu solat di Pandang untuk melihat waktu bersahur pada malam tersebut, saya melihat waktu magrib adalah 6.35 bukannya 6.20. Sebelum ini saya memang yakin masuk waktu adalah 6.20 kerana saya telah menyemak waktu solat sebelum ke Padang. Adakah saya perlu menggantikan Puasa saya? Adakah saya berdosa sekiranya saya tidak memaklumkan kepada isteri saya bahawa puasa kami telah batal? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, berbuka puasa awal dengan tidak sengaja adalah tidak berdosa. Namun, para ulama’ bersepakat bahawa jika seseorang berbuka sebelum Maghrib (iaitu setelah matahari betul-betul terbenam) kerana tersalah sangka atau tidak menyemak semula waktu berbuka pada hari tersebut, maka puasanya terbatal dan wajib diqada’. Imam al-Nawawi telah menjelaskan berhubung perkara tersebut berdasarkan mazhab Syafi’i iaitu:

وَلَوْ أَكَلَ ظَانًّا غُرُوبَ الشَّمْسِ فَبَانَتْ طَالِعَةً أَوْ ظَنَّ أَنَّ الْفَجْرَ لَمْ يَطْلُعْ فَبَانَ طَالِعًا أَفْطَرَ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَنْصُوصِ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ

Maksudnya: Dan jika seseorang makan kerana menyangka tenggelamnya matahari, ternyata belum tenggelam atau menyangka fajar belum timbul, ternyata telah timbul, dikira batal puasanya atas nas yang sahih dan ianya diputuskan oleh jumhur ulama’. (Raudhah al-Talibin, jil. 2, ms. 363) 

Oleh itu, puasa tuan dan isteri perlu diqada’ dan perlu memaklumkan perkara ini kepada isteri.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 21

message user image