BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualikum. Saya ada soalan berkenaan Qada' solat. 

Saya sejak baligh telah memastikan diri saya untuk sentiasa solat 5 waktu sehari, tetapi saya baru perasaan sekarang yang selama ini bacaan tahiyat akhir saya adalah salah. Semenjak itu saya sedaya upaya memperbaiki rukun solat saya supaya perkara ini tidak berulang lagi. 

Soalan saya adalah perlukah saya qaha' solat saya yang telah bertahun-tahun saya lakukan jika saya tidak sengaja tersalah bacaan dalam solat fardhu? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, membaca tahiyat akhir adalah rukun dalam solat. Justeru, bagi mereka yang meninggalkannya maka solatnya tidak sah. Ia juga bersangkut paut dengan bacaan yang betul dan sahih dalam tahiyat akhir. Oleh itu, puan perlu membaca tahiyat akhir dengan bacaan yang benar dan betul di sisi syarak.

Namun begitu, kesalahan atau kesilapan yang dilakukan secara tidak sengaja adalah dimaafkan dan tidak membatalkan solat. Solat yang terdahulu tidak perlu diqada' semula. Puan perlu bertaubat atas kesalahan tersebut dan berazam untuk sentiasa mempelajari ilmu agama dengan teliti. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 17;

إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya: "Sesungguhnya taubat yang diterima oleh Allah adalah bagi mereka yang melakukan kesalahan dengan sebab kejahilan kemudian dia segera bertaubat maka Allah menerima taubat mereka. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".

Selain itu, kesalahan bacaan yang puan lakukan di dalam tahiyat akhir adalah dimaafkan sekiranya ia berlaku tanpa ilmu. Hal ini juga seperti firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 5;

 وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَاۤ اَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمۗ وَكَانَ اللهُ غَفُورًا رَّحِيمًا 

Maksudnya: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 

Maka, setelah mengetahui kebenaran hukum ini, dinasihatkan bagi masa akan datang agar puan membaca tahiyat akhir dengan bacaan yang betul mengikut cara dan panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 

 

 

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 21

message user image