BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Dulu saya tidak tahu niat adalah wajib untuk berwudhu. Saya hanya bermula untuk berniat wudhu setelah habis sekolah. Adakah saya perlu qadha solat untuk 7 tahun saya meninggalkan niat wudhu? Adakah saya dikira telah berdosa kerana solat-solat yang tidak sah sebelum ini?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. Dari segi istilah pula, berkata Imam al-Nawawi:

النِّيَّةُ عَزْمُ الْقَلْبِ عَلَى عَمَلِ فَرْضٍ أَوْ غَيْرِهِ

Maksudnya: Niat adalah keazaman (tekad) di dalam hati di atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya (wajib).

Jika diteliti takrifan yang lalu, niat tidak semestinya perlu dilafazakan melalui mulut kerana ianya sunat sahaja. Niat adalah lintasan hati yang menunjukkan seseorang itu ingin melakukan sesuatu perbuatan. Justeru, mengikut situasi puan secara adatnya bahawa ketika berwuduk pasti akan terlintas di dalam hati tujuan puan berwuduk, maka ia sudah dikira sebagai niat.     

Sebaliknya, jika puan benar-benar tidak berniat sama sekali ia hanya merupakan kesalahan atau kesilapan yang dilakukan secara tidak sengaja, maka ia dimaafkan. Solat yang terdahulu tidak perlu diqada' semula. Puan perlu bertaubat atas kesalahan tersebut dan berazam untuk sentiasa mempelajari ilmu agama dengan teliti. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 17;

إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya: "Sesungguhnya taubat yang diterima oleh Allah adalah bagi mereka yang melakukan kesalahan dengan sebab kejahilan kemudian dia segera bertaubat maka Allah menerima taubat mereka. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".

Selain itu, keadaan tidak berniat ketika berwuduk tersebut adalah dimaafkan sekiranya ia berlaku tanpa ilmu. Hal ini juga seperti firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 5;

 وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَاۤ اَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمۗ وَكَانَ اللهُ غَفُورًا رَّحِيمًا 

Maksudnya: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 

Maka, setelah mengetahui kebenaran hukum ini, dinasihatkan bagi masa akan datang agar puan hendaklah berniat ketika beribadah kerana setiap ibadah yang dilakukan memerlukan kepada niat pelakunya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 

 

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26

message user image