BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..

Saya ingin bertanya tentang satu kemusykilan yang menyebabkan urusan harian saya sekarang ini amat terganggu. 2 hari lepas saya ada membeli laptop secondhand. Disebabkan secondhand, jurujual telah membersihkan seluruh laptop tersebut dengan satu berus. Setelah dibersih atau dilap dengan berus tersebut, laptop kemudian diletakkan polish agar nampak baru dan berminyak. Setelah sampai dirumah baru tetiba saya terpikir yg agaknya berus yg digunakan adalah berus dari bulu babi kerana bentuknya lain macam je. Persoalannya dari kedai tadi saya, isteri dan anak saya dh menyentuh laptop yg dipolish tadi. Kemudian tangan tersebut dah memegang macam-macam seperti alatan dalam kereta, telefon, tombol pintu dan banyak lagi. Sekarang ni fikiran saya sudah jadi stress dan tak menentu risau takut najis seandainya betul bulu babi tadi dah tersebar. Dan macam mana pulak dengan laptop tadi. Anak saya dh byk kali guna dah dan adakah tangannya dah bernajis dan menyebar ke seluruh benda lain? Apa yang perlu saya buat?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah dimaafkan. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci.

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, bulu dari berus cat tersebut adalah kekal suci.

Sehubungan itu, laptop tersebut adalah kekal suci dan tidak perlu disertu. Tidak perlu juga sertu semua peralatan yang telah dipegang serta najis tidak tersebar. Tidak perlu buat sebarang tindakan ke atas laptop dan segala barang dan peralatan di rumah atau di mana sahaja. Gunakan sahaja laptop tersebut seperti biasa tanpa rasa was-was. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 20

message user image