Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya merupakan pelajar tahun akhir di universiti dan semestinya jadual saya sangat padat. Soalan saya, jika kelas saya straight dari pukul 9 pagi hingga 12 tengahari, kemudian bersambung pada pukul 1 hingga 5 petang, bolehkah saya menjamakkan solat Zuhur dan Asar? Untuk pengetahuan pihak tuan, kelas saya berjarak jauh dan saya hanya berjalan kaki. Keadaan ini mengambil masa lebih 10 minit untuk bergerak dari satu kelas ke kelas yang lain. Jika saya keluar dari kelas ketika waktu Zuhur, saya khawatir tidak sempat untuk kembali ke kelas dan bergerak ke kelas seterusnya. Tambahan pula, saya seorang muslimah dan sangat mengambil masa untuk saya tukar pad (saya ada masalah keputihan), mengambil wudhuk dan bergerak ke surau. Mohon penjelasan dari pihak mufti, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, antara sebab-sebab yang dibenarkan untuk seseorang itu menjamakkan solat adalah seperti berikut yang diletakkan oleh para ulama’:
Bermusafir (dengan tujuan yang harus)
Hujan (yang lebat sehingga memudharatkan)
Di samping itu juga, kita dituntut untuk mendirikan solat di dalam waktu-waktunya sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 103:
Maksudnya: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
Justeru, apabila berlaku pertembungan antara hak Allah dan hak makhluk, maka hak Allah wajib diutamakan. Rasullullah SAW bersabda:
Maksudnya : Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk diri kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak. (Riwayat al-Bukhari)
Justeru, mengikut situasi yang puan alami puan tidak dikategorikan sebagai orang yang diberikan rukhsah dalam melakukan solat secara jamak dan qasar. Oleh itu, sebaiknya puan berhenti mencari tempat yang bersesuaian seperti surau di sekitar universiti untuk melakukan solat secara sempurna dan bijak merancang waktu perjalanan sepanjang puan pergi ke kelas untuk mendahulukan solat terlebih dulu atau memohon kebenaran daripada pensyarah untuk melaksanakan ibadah solat.
Sekian, terima kasih.