BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Mak ayah angkat saya mempunyai dua org anak angkat iaitu saya (Perempuan) dan adik lelaki. Pengangkatan ini tiada hubungan perkahwinan,pertalian darah dan juga penyusuan.

Adik lelaki berumur 26 tahun tetapi pemikirannya seperti kanak-kanak berusia kurang dari 6 tahun dan mempunyai kad OKU Kategori: Pembelajaran. Lemah IQ dan perlukan perhatian rapi kerana mempunyai sawan. Oleh itu,  adik angkat tidur bersama mak ayah angkat di dalam bilik yang sama, berlainan katil. Tetapi baru-baru ini, ayah angkat meninggal dunia. Saya membawa ibu dan adik angkat tinggal bersama saya kerana banyak faktor sepertinya adik pernah mengacukan pisau dan tantrum.

Sebelum ini adik berpuasa dan mengikuti ayah pergi solat jumaat. Tetapi pada suatu hari, jiran telah menyatakan kepada adik bahawa dia tidak wajib berpuasa. Oleh kerana itu, adik tidak lagi mahu berpuasa.

Saya mempunyai beberapa soalan iaitu:

  1. Hukum ibu angkat bersentuhan dengan adik lelaki tersebut memandangkan adik tidak dapat menguruskan dirinya sendiri seperti membersihkan diri selepas buang air besar.
  2. Hukum berpuasa bagi adik.
  3. Bolehkah saya, adik dan ibu tinggal bersama dan bagaimana batasan aurat kami.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Secara asasnya, adik angkat lelaki dan ibu angkat adalah ajnabi (bukan mahram) kerana tiada hubungan darah, susuan atau perkahwinan. Maka, hukum bersentuhan dan tinggal bersama tanpa batas adalah tidak dibenarkan. 

Namun, dalam keadaan yang boleh menyebabkan isu keselamatan, kesihatan serta kebersihan adik angkat yang berstatus OKU, maka terdapat keringanan yang diberikan oleh syarak berdasarkan kaedah:

الضرورات تبيح المحظورات

Maksudnya: Keperluan darurat mengharuskan perkara yang dilarang.

Ibu angkat diharuskan menyentuh dan menjaga kebersihan adik (termasuk istinjak, mandi, berpakaian) jika tiada lelaki lain yang boleh membantu atau tidak mampu mengupah orang lain untuk menguruskan anak angkat tersebut, dengan syarat:

  • Hanya bila perlu.

  • Menutup aurat dengan sempurna semampunya.

  • Menjaga adab dan tidak melihat aurat lebih dari keperluan.

  • Melakukan tugas dengan niat ikhlas menjaga kebajikan.

 

2. Secara asasnya, antara syarat sah puasa ialah berakal. Berakal bermaksud seseorang itu memiliki kemampuan membezakan antara baik dan buruk, serta dapat memahami arahan dan larangan daripada Allah SWT. Antara tanda penting seseorang itu berakal ialah kebolehannya mengurus diri, khususnya dalam aspek kebersihan dan kesucian diri.

Jika adik angkat puan tidak memiliki kemampuan seperti yang disebutkan, maka dia tidak ditaklifkan (tidak diwajibkan) untuk berpuasa. Namun, sekiranya dia masih mempunyai sedikit kefahaman dan kemampuan untuk beramal, maka sangat digalakkan untuk membimbingnya berpuasa dengan penuh sabar dan kasih sayang.

3. Adik lelaki walaupun OKU, tetap dikira ajnabi (bukan mahram) bagi puan dan ibu angkat, namun dalam situasi yang diterangkan maka dibolehkan untuk tinggal serumah, tapi wajib jaga batas aurat dan adab syarak. Maka aurat tetap perlu dijaga selagi dia masih ada kefahaman atau keinginan syahwat, walaupun sedikit.

Namun, jika keadaannya seperti kanak-kanak kecil yang langsung tidak faham aurat dan tiada syahwat, syarak beri kelonggaran atas dasar keperluan. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nur: 31

أَوِ ٱلطِّفْلِ ٱلَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا۟ عَلَىٰ عَوْرَٰتِ ٱلنِّسَآءِ

Maksudnya: atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita.

Walaupun begitu, sentiasalah berhati-hati dan berwaspada dalam menjaga batasan aurat dan hukum syarak, pakailah pakaian yang sopan, tidak jarang atau ketat, dan elak buka aurat tanpa keperluan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 13

message user image