Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.saya pesakit cancer tiriod dah buat pembedahan dan selepas buat pembedahan perlu pakai ryles tiub/tiub susu melalui hidung sebab tak boleh makan dengan minum disebabkan peti suara rosak.saya nak tahu saya boleh berpuasa ke walaupun pakai tiub susu ni dihidung
Jawapan
Berdasarkan soalan, dijelaskan di sini “Ryles Tube” adalah sejenis tiub yang dimasukkan melalui hidung dengan hujung tiub sampai ke dalam perut melalui saluran nasogastrik bertujuan untuk memberi nutrisi (susu / air), memasukkan ubat-ubatan, membuang rembesan perut seperti darah dan sebagainya.
Dalam ‘Panduan Berpuasa Bagi Pesakit’ yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menyebutkan bahawa antara “Perkara-perkara berkaitan membatalkan puasa ialah: Penggunaan teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman”
Di sini diperincikan konsep bagi endoskop dan gasteroskop. Endoskop ialah alat tontonan atau kamera yang sangat kecil dan fleksibel, digunakan dengan memasukkannya melalui mulut dan kemudian perlahan-lahan digerakkan melalui kerongkong ke dalam saluran gastrousus atas manakala gastroskop adalah tiub fleksibel yang memasuki mulut dan turun melalui esofagus ke dalam perut dan menuju ke usus kecil.
Kedua-dua konsep ini sama ketika penggunaan ‘ryles tube’ iaitu memasukkan sesuatu (tiub) ke dalam rongga (perut, usus atau saluran gastrousus) melalui rongga terbuka (mulut atau hidung).
Syeikh Dr Mustafa al-Bugha di dalam fiqh manhaji menyebut antara perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain (objek) ke jauf (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.”
Kesimpulannya, hukum penggunaan ‘ryles tube’ di siang Ramadan adalah membatalkan puasa. Dinasihatkan jika ingin melakukan rawatan pada bulan Ramadan yang menggunakan alat seperti ‘ryles tube’ digalakkan ia dilakukan pada waktu malam. Namun jika terdapat halangan untuk melakukannya pada waktu malam maka boleh untuk melakukannya pada waktu siang dan wajib mengqadha’ semula puasanya.
Sekian, terima kasih.