BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.
1: saya ingin bertanya sebagai pesakit saraf saya mengalami masalah tidak dapat mengawal masalah angin(ketut) .Dan keadaan kesihatan saya juga agak tidak memuaskan iaitu sy berkerusi roda kerana anggota badan lemah kerana masalah penyakit saraf saya. Jadi untuk berulang mengambil wuduk untuk solat akan membuatkan anggota badan saya akan semakin lemah jika banyak pergerakkan dan jika memggunakan botol spray pon tak sempat habis berwuduk saya dah terkentut. Jadi saya mohon pencerahan dari pihak tuan/puan bagaimana cara untuk saya nak solat dan berwuduk yang boleh saya gunakan dengan keadaan kesihatan saya begini. 
2: Dan adakah saya boleh mengikut cara berwuduk dan solat mengikut mazhab lain atas sebab kesihatan saya.

3: Bagaimana pula cara untuk saya solat sunat jika dalam keadaan begini.


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Para fuqaha’ meletakkan hukum bagi mereka yang terkena penyakit daim al-hadath (sentiasa berhadas) seperti mereka yang mengalami masalah salisil baul (kencing tidak lawas), kentut yang berterusan atau penyakit lain yang menyebabkan keluar najis secara berterusan ini sama hukumnya dengan perempuan istihadhah (keluar darah). Mereka juga telah meletakkan beberapa garis panduan bagi golongan ini seperti berikut:

  • Hukum solat dan ibadah lain yang memerlukan wuduk tidak tergugur disebabkan penyakit sentiasa berhadas.
  • Berwuduk seperti biasa, jika ia melemahkan badan maka disarankan menggunakan botol spray untuk memudahkan tujuan berwuduk. Namun sekiranya angin keluar saat berwuduk maka bagi situasi yang dialami oleh puan adalah dimaafkan dan tidak perlu mengulangi wuduk tersebut.
  • Kedua-dua perkara di atas hendaklah dilakukan selepas masuk waktu solat.
  • Wajib berwuduk bagi setiap solat fardu dan wuduk tersebut boleh digunakan untuk beberapa solat sunat selepas solat fardu.
  • Wajib segera menunaikan solat selepas berwuduk untuk mengurangkan hadas namun tidaklah memudaratkan solat jika dilewatkan solat tersebut disebabkan oleh maslahah seperti mendengar azan dan iqamah, menunggu jemaah yang lain bagi yang solat berjemaah, mencari kiblat, menuju ke masjid, mencari sutrah. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wuduk meskipun dalam tempoh tersebut terkeluar angin (terkentut). 

Manakala bagi solat sunat pula, puan boleh melaksanakannya dalam keadaan duduk atau mengikut kemampuan yang ada. Jika wuduk yang diambil masih dalam waktu solat fardu maka wuduk itu juga boleh digunakan untuk beberapa solat sunat tanpa perlu memperbaharui wuduk selagi waktu solat tersebut masih berlangsung. Jika puan menghadapi kesukaran untuk berdiri atau sujud, maka boleh melaksanakan solat dalam keadaan duduk atau dengan isyarat, iaitu menganggukkan kepala bagi rukuk dan sujud.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 11

message user image