BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum nak bertanya ada ke puasa sunat Nisfu Syaaban.

Saya berharap dapat menerima penjelasan yang jelas berdasarkan dalil daripada Al-Quran dan Hadis, serta pandangan ulama, sekiranya berkaitan.

Sekian, terima kasih.  


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, tiada ayat al-Qur'an dan hadis sahih yang menyebutkan secara khusus tentang amalan berpuasa sunat pada siang hari 14 Sya’ban.

Namun, terdapat hadis sahih yang menyebutkan secara umum akan keutamaan memperbanyakkan puasa sunat dalam bulan Sya’ban dan juga terdapat hadis sahih yang menyebutkan perkara berkaitan dengan Nisfu Sya’ban iaitu kelebihan malamnya. 

Diriwayatkan daripada Abu Salamah bahawa Saidatina A’ishah RA berkata:

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ، فَإِنَّهُ كَانَ ‌يَصُومُ ‌شَعْبَانَ ‌كُلَّهُ، وَكَانَ يَقُولُ: خُذُوا مِنَ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ، فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا

Maksudnya: Tidak ada bulan yang lebih banyak Nabi SAW berpuasa selain daripada bulan Sya’ban. Sesungguhnya Baginda SAW berpuasa sepanjang bulan Sya’ban. Baginda SAW bersabda: Lakukanlah amal ibadah yang mampu kamu lakukan kerana sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu. (Riwayat al-Bukhari)

Juga terdapat dalam hadis yang lain iaitu diriwayatkan daripada Saidatina A’ishah RA bahawa: 

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ، حَتَّى نَقُولَ: لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ: لَا يَصُومُ وَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلَّا رَمَضَانَ ‌وَمَا ‌رَأَيْتُهُ ‌فِي ‌شَهْرٍ ‌أَكْثَرَ ‌مِنْهُ ‌صِيَامًا ‌فِي ‌شَعْبَانَ

Maksudnya: Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengatakan: Baginda SAW tidak berbuka. Baginda SAW juga sering tidak berpuasa sehingga kami mengatakan bahawa Baginda SAW tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa satu bulan penuh kecuali Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda SAW dalam sebulan (selain Ramadhan) berpuasa yang lebih banyak daripada puasa Baginda SAW di bulan Sya’ban. (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis tersebut, para ulama’ menghukumkan bahawa disunatkan dan dianjurkan untuk berpuasa pada bulan Sya’ban secara umum tanpa menentukan hari-hari yang khusus. Bahkan tiada larangan secara jelas bagi sesiapa yang ingin mengamalkannya termasuklah pada hari jatuhnya malam Nisfu Sya’ban. 

Seseorang boleh berniat untuk berpuasa sunat hari putih (أيام البيض) di mana hari Nisfu Sya’ban merupakan salah satu daripada hari-hari tersebut atau berniat untuk berpuasa Isnin atau Khamis jika hari Nisfu Sya’ban tersebut jatuh bertepatan pada hari Isnin atau Khamis atau sekadar berpuasa sunat dengan niat berpuasa di dalam bulan Sya’ban.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 10

message user image