BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang status puasa saya. 

1. Saya bersahur sedikit lewat dan ingin meminum air kerana dahaga. Saya telah melihat masa masih berbaki kurang 1 minit lagi sebelum subuh. Jadi saya minum air tersebut. Kemudian, saya mendengar azan subuh. Saya menjadi hairan bukankah azan subuh lagi 1 minit. Rupanya saya tersilap melihat waktu masuk solat. Walaubagaimanapun, saya sempat berhenti sebelum azan. Bagaimanakah status puasa saya?

2. Sewaktu sahur, saya telah makan makanan seperti buah mangga. Saya telah kumur lebih dari 3 kali, pepejalnya sudah tidak ada. Malah semasa berkumur, saya tidak nampak warna kuning mangga pada sisa kumuran. Masuk waktu subuh, masih ada lagi rasa mangga di mulut. Saya tidak memberus gigi lagi kerana doktor gigi menyarankan untuk tidak memberus gigi sejurus selepas makan kerana tidak baik untuk kesihatan gigi. Dalam beberapa minit selepas itu saya terdetik untuk meludah. Dan nampak sisa kumuran saya berwarna kuning. Sebelum itu, saya sudah menelan air liur beberapa kali. Apakah sah status puasa saya?

Mohon jawapan dari pihak tuan. Terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

1. Merujuk soalan di atas, sekiranya masih terdapat makanan atau minuman di dalam mulut kita sejurus azan berkumandang, dengan catatan bahawa azan itu dilaungkan bertepatan dengan masuknya waktu solat sebenar, maka kita wajib mengeluarkannya serta merta dari mulut. Jika kita teruskan menelan makanan tanpa mengeluarkannya kembali maka, batal lah puasa pada hari tersebut dan wajib qada' puasanya. Hal ini bagi memastikan kita tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa setelah terbit fajar (masuk waktu Subuh). Adapun sekiranya makanan atau minuman tersebut sudah sampai di bahagian tekak ketika azan berkumandang, maka boleh terus menelan sahaja dan ianya dimaafkan serta boleh meneruskan puasa pada hari tersebut. Namun seandainya diyakini, makan dan minum selepas masuk waktu solat Subuh, maka puasanya tidak sah. Selain itu, jika tidak mendengar azan Subuh sekalipun, sekiranya telah masuk waktu Subuh di tempat kita berdasarkan takwim yang telah dikeluarkan oleh pihak berautoriti, maka wajib bagi kita untuk menahan diri daripada makan minum dan dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Untuk masa akan datang adalah dinasihatkan untuk melazimkan diri berhenti daripada makan dan minum pada waktu imsak bagi mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku.

2. Berhubung sisa makanan pula, jika terdapat sisa makanan yang terselit di celah gigi dan tertelan bersama air liur maka puasa seseorang tidak terbatal. Ini berlaku apabila sisa tersebut sukar untuk dipisahkan atau diludahkan kerana adanya halangan dan ia bukan hasil kecuaian individu tersebut selain jumlahnya yang sedikit. Namun, jika sisa makanan yang tertelan dalam jumlah yang banyak dan individu tersebut sebenarnya mampu meludahkannya tetapi tidak berbuat demikian, maka puasanya menjadi batal. Hal ini sebagaimana dijelaskan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji yang menyebut: 

Maksudnya: Sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur, tidak membatalkan puasa sekiranya susah membeza dan meludahkannya kerana ada halangan dan tanpa kecuaiannya. Jika tiada kesulitan sedemikian, puasanya batal disebabkan kecuaiannya.

Ini bermakna, jika telah berusaha sebaiknya dengan berkumur-kumur dan memastikan tidak ada sisa makanan yang tertinggal, namun kemudian didapati terdapat sedikit rasa sisa makanan, maka ia dimaafkan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 16

message user image