BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Syeikh/Ustaz. Saya ada soalan tentang berpuasa bagi pesakit gout.

Mak saya dah makin berumur (tahun ini dia 69 tahun) dan dua tiga tahun ini, setiap kali datang Ramadhan, dia pasti akan bengkak gout (biasanya bermula di ibu jari kaki kanan). Ini membuatkan dia susah untuk menyelesaikan urusan harian dia, seperti solat, pergi ke tandas, memasak, mengemas rumah, dan lain-lain, sebab apa-apa pergerakan di sendi yang berkenaan akan menyebabkan kesakitan. Kami yakin yang serangan gout ini disebabkan dehidrasi yang meninggikan kepekatan asid urik di dalam darahnya, yang seterusnya menyebabkan presipitasi kristal urat (urate crystals).

Adakah terdapat rukhsah buat mak saya untuk mencegah kes gout ini? Contohnya, berpuasa 3 hari berturut-turut, kemudian tak berpuasa pada hari keempat, kemudian disambung semula dengan 3 hari berpuasa, dan selanjutnya. Dia juga akan mengganti hari-hari yang dia tak berpuasa setelah selesainya Ramadhan. Rasanya peruntukan ini dah pun ada di dalam Surah Al-Baqarah ayat 184, kan?

Minta nasihat ye, Syeikh/Ustaz. Terima kasih.

Maklumat tambahan:

1) Dia dah sejak bertahun mengambil ubat untuk mengurangkan paras asid urik.

2) Dia biasanya berpuasa sunat Isnin dan Khamis tanpa mengalami masalah yang sama.


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Secara asasnya, terdapat keadaan-keadaan yang menjadi rukhsah dalam permasalahan ibadah puasa seperti keuzuran berpuasa kerana sakit yang tidak dibolehkan berpuasa, bermusafir, haid, hamil, menyusukan anak dan sebagainya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat ke-184:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. 

Berdasarkan ayat di atas, Imam Ibnu Kathir menafsirkan bahawa:

الْمَرِيضُ وَالْمُسَافِرُ لَا يَصُومَانِ فِي حَالِ الْمَرَضِ وَالسَّفَرِ؛ لِمَا فِي ذَلِكَ مِنَ الْمَشَقَّةِ عَلَيْهِمَا، بَلْ يُفْطِرَانِ وَيَقْضِيَانِ بِعِدَّةِ ذَلِكَ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: Orang yang sakit dan bermusafir, mereka dibolehkan tidak berpuasa dalam keadaan sakit dan musafir kerana kesusahan yang dialami ke atas mereka. Bahkan mereka boleh berbuka  dan menggantikan puasa mereka pada hari-hari yang lain.

Oleh itu, berdasarkan kondisi semasa ibu puan, diwajibkan bagi pihak ibu tuan berpuasa pada bulan Ramadhan mengikut kadar kemampuan. Seandainya dengan melakukan perkara tersebut dapat mengelakkan atau mengurangkan serangan penyakit tersebut, maka ia diharuskan. Namun hari yang beliau tidak berpuasa wajib diganti. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 19

message user image