Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,saya ingin bertanya,jika seseorang pernah dapat duit atau hasil dari buat benda yang haram tetapi bukan dari hak org lain seperti mencuri dan sebagainya.Jadi duit tersebut telah bercampur dengan duit yang halal dalam satu akaun yang sama.Yang halal telah lupa jumlahnya.Jadi dari duit dalam akaun tersebut yang bercampur telah digunakan utk membeli topup internet dan digunakan juga untuk membeli barang yang lain.Selepas itu,dia telah berhenti dari buat benda yang haram dan dari duit tersebut dia telah gunakan untuk beli topup dan menggunakan internet tersebut untuk kerja melalui online.Setiap bulan dia menerima gaji.Adakah gaji yang diterimanya setiap bulan menjadi haram dan tidak boleh ia gunakan??sebab dah kelanjuran guna dari duit gaji tersebut.
ii)Bagaimana cara untuk ia bersihkan semua dari yang telah ia gunakan jika ianya menjadi haram?Adakah perlu diganti semula?
iii)Bagaimana jika seseorang ada percampuran duit was-was atau haram dengan yang halal dalam satu akaun bank.Sebagai contoh,duit was-was itu bernilai RM550 selepas itu ada orang memberikannya RM150 ialah duit yang halal.Jadi duit tersebut berada dalam satu akaun yang sama.Duit was-was RM550 itu belum lagi ia keluarkan..selepas itu dia ada menggunakan RM50 dari duit dalam akaun tersebut.dia menganggap yang digunakannya itu adalah dari RM150 yang halal.RM50 itu dijadikan sebagai topup internet.Dia melakukan pekerjaannya menggunakan internet dari hasil duit tersebut.Bulan itu dia menerima gaji.Adakah gaji yang diterimanya halal dan boleh ia gunakan?kerana risau akn jadi syubhah kerana yang was-was RM550 itu belum lagi ia keluarkan.
iv)Bolehkah duit yang haram dan was-was diberikan kepada tahfiz,masjid atau surau untuk tujuan pembinaan atau penambahbaikpulih tandas?Semasa mengeluarkan duit tersebut adakah perlu niat seperti "aku lepaskan duit tersebut" atau boleh dilepaskan begitu sahaja?
v)Bolehkah duit yang haram atau was-was yang cash digantikan dengan duit yang lain sebagai contoh ditukarkan yang dalam akaun untuk tujuan membersihkan duit tersebut dan bersihkan dgn cara transfer?selepas itu bolehkah ia menggunakan duit yang cash tersebut jika duit tersebut telah diganti?
Sekian,terima kasih.
Jawapan
Dalam Islam sememangnya umat Islam perlu memastikan sumber pendapatan yang diperolehi dengan jalan yang mematuhi kehendak syarak. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa' ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.
Pada asalnya harta yang diperolehi daripada sumber yang diharamkan oleh syarak, seperti daripada transaksi riba, perniagaan judi dan arak adalah haram digunakan. Jika hasil pendapatan tersebut semata-mata daripada sumber rezeki yang haram, maka jadilah harta tersebut haram, manakala jika ia bercampur antara sumber rezeki halal dan haram, maka jadilah harta itu harta syubhah.
1. Perbuatan puan menggunakan duit syubhah itu pada urusan kerja tidak menjadikan hasil gaji menjadi haram. Namun dikhuatiri ia boleh menghilangkan keberkatan pekerjaan serta pendapatan yang diperolehi daripada sumber yang tidak halal.
2. Wang haram atau syubhah sebagaimana yang dinyatakan, yang tidak melibatkan hak orang lain, penggunaannya adalah diharamkan. Sekiranya puan mengetahui akan keharaman wang tersebut daripada awal, dan puan belanjakannya untuk manfaat sendiri, maka puan perlu menggantikannya, jika puan mampu berbuat demikian. Manakala baki daripada wang tersebut yang masih ada wajib dibersihkan dengan menyerahkannya kepada Baitulmal.
3. Apabila Puan mengetahui secara tepat nilai duit haram, perlulah diasingkan terlebih dahulu daripada mana mana bank yang mempunyai duit halal untuk diserahkan kepada pihak Baitulmal atau dikembalikan kepada pemiliknya. Kerana percampuran duit halal dan haram di dalam satu akaun telah menjadi duit syubhah. Serta duit syubhah tidak boleh digunakan untuk kepentingan sendiri. Adapun, gaji yang diperoleh tersebut tidak haram.
4. Sebaiknya wang haram atau tidak patuh syariah hendaklah diserahkan kepada Baitulmal untuk diuruskan bagi penggunaan awam seperti pembangunan masjid, pembinaan surau, membaiki jalan awam dan sebagainya.
Pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 4hb Ogos 2009 menyatakan bahawa: Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak memenuhi Syariah seperti riba, gharar, perjudian, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiyai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya.
Diserahkan kepada golongan fakir miskin, atau
Jika harta tersebut harta rompakan, curi dan seumpama dengannya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.
5. Boleh untuk menggantikan duit cash tersebut kepada duit dalam akaun bank berdasarkan nilainya. Kemudian duit cash tersebut dikira duit halal yang boleh digunakan.
Sekian, terima kasih.