Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
situasi : saya terpijak tahi anjing pada selipar saya dan apabila saya nak bersihkan, saya membersihkannya dengan menderaskan air (high water pressure) ke selipar sehingga hilang bekas tahi, air percikan tersebur terkena kaki dan tangan saya. soalan saya ialah,
1. adakah air percikan tersebut najis kerana ia mengambil masa beberapa minit untuk saya hilangkan seluruh najis pada selipar
2. saya belum sertu selipar saya lagi, cuma hilangkan najis. bolehkah saya menundanya kerana ia berlaku ketika saya outstation
3. perlukah saya menyertu tangan dan kaki saya juga
Jawapan
1. Percikan air daripada air basuhan najis yang halus dan sukar untuk dielakkan adalah dimaafkan sekiranya terkena pada anggota badan atau pakaian. Melainkan percikan itu meninggalkan ain najis yang kelihatan nyata pada pandangan mata atau bau, maka ketika itu perlu disucikan.
“Islam agama yang bersih, untuk itu wajib menghilangkan najis walau di mana keberadaannya. Memelihara diri daripada najis, dan menjadi bersih dari najis adalah syarat sah solat sama ada pada pakaian ataupun badan ataupun tempat solat. Sesungguhnya agama meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Maka dimaafkan sebahagian najis disebabkan kesusahan untuk menghilangkannya atau kesusahan untuk menjaga daripada terkena najis tersebut, agar menjadi kemudahan kepada manusia, dan mengangkat kesusahan daripada manusia. Contohnya, percikan air kencing yang sedikit yang tidak dapat dikesan dengan penglihatan mata yang sederhana jika terkena pakaian ataupun badan, sama ada najis mughallazah ataupun najis mukhaffafah ataupun najis mutawassitah.”
(Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 1/43)
2. Dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.
Riwayat Muslim (279)
Di sini jelas sekiranya selipar yang tidak disertu lagi setelah terkena najis anjing adalah tidak suci. Namun, tidak menjadi masalah sekiranya tidak menyegerakan basuhan dengan air tanah kerana kebiasaannya selipar tidak dibawa ke dalam solat yang memerlukan kesucian pakaian sebagai syarat sah solat.
3. Sekiranya diyakini tangan dan kaki juga memegang atau terkena najis anjing maka wajiblah disertu (membasuh dengan tujuh kali dan basuhan pertama dengan air tanah). Namun jika hanya terkena percikan air basuhan sahaja, maka tidak perlu.
Sekian, terima kasih.