Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
pada 9mac sekitar jam 5:45am, keluar darah sedikit. dan selepas itu didapati tiada lagi darah, hanya keluar keputihan seperti hari kebiasaan sehingga 11mac. namun pada 11mac sekitar jam 8pm, didapati keluar darah lagi diselangi dengan keputihan namun pada jam 11:45pm didapati keluar darah lagi berbentuk benang pendek. selepas itu tiada lagi darah yang keluar hanya keputihan biasa sehingga 12mac(keesokkan). pada 12mac sekitar jam 9:45pm keluar darah yang banyak seakan haid seperti bulan sebelumnya beserta cramp diperut dan pinggang. soalan saya, adakah puasa pada 9 hingga 12 mac itu sah ?
Jawapan
Secara asasnya, tempoh sekurang-kurang haid ada dua gambaran:
Gambaran pertama: Darah keluar sehari semalam (24 jam) secara berterusan. Maksud berterusan ialah darah masih ada dalam kemaluan walaupun tidak mengalir keluar sehingga ke luar faraj. Contohnya: daraj keluar bermula 5.45 pagi 9 Mac hingga 5.45 pagi esoknya 10 Mac.
Gambaran kedua: Darah yang keluar secara putus-putus tetapi digabungkan kesemua darah tersebut dalam tempoh 15 hari 15 malam ke bawah, cukup sehari semalam (24 jam). Contoh: hari pertama (9 Mac) darah keluar 5 jam, hari kedua (10 Mac) 5 jam, hari ketiga (11 Mac) 5 jam, hari ke 4 (12 Mac) 5 jam dan hari ke 5 (13 Mac) 4 jam. (5+5+5+5+5=24 jam). Kesemua darah ini adalah dianggap haid.
Merujuk kepada persoalan, jika darah yang keluar bermula 9 Mac hingga hari ke 15 maksimum haid mencukupi syarat asas haid iaitu 24 jam apabila dikumpulkan tempoh waktu darah yang keluar, maka kesemua tempoh tersebut dihukumkan sebagai haid. Ini bermakna ibadah solat dan puasa pada tempoh itu adalah tidak sah, namun tetap mendapat pahala. Jika perkara ini berlaku di dalam bulan Ramadhan, puasa itu perlu diganti. Manakala solat tidak perlu diganti.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.