BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada soalan yang panjang. Saya tahu hukum memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan akan batal puasa. Cuma pada suatu ketika saya selalu masukkan jari dalam dubur utk buang sisa najis kerana ada saya masalah buang air besar yang susah nk keluarkan sepenuhnya maka terpaksa guna jari utk buang baki najis. Cuma sekarang baru tahu yg ini juga batal puasa dan saya telah melakukan ini sekian lama. Adakah saya perlu qadha puasa? Contohnya saya perlu qadha 150 hari puasa sbb buat perkara itu utk utk 5 tahun tanpa tahu dan tak faham sepenuhnya hukum itu? Mohon pencerahan. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa bukan semua perkara yang tidak diketahui (jahil) atau tidak memahami sepenuhnya akan sesuatu hukum dianggap sebagai keuzuran di sisi syarak sebaliknya dalam beberapa keadaan tertentu sahaja yang mana kategori jahil tersebut dimaafkan iaitu sama ada baru memeluk Islam atau tidak sampai padanya ilmu Islam disebabkan tinggal berjauhan dari komuniti Islam. 

Tambahan pula, tuan sudah mengetahui akan hukum memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan akan menyebabkan puasa menjadi batal. Namun tuan tidak memahami sepenuhnya bahawa perbuatan memasukkan jari ke dalam rongga kemaluan bagi tujuan membersihkan bahagian dalam atau berniat ingin membuang baki najis disebabkan kesukaran membuang air besar tersebut juga termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Oleh itu, isu ini merupakan perkara mendalam tidak diketahui oleh semua orang awam. Memandangkan isu ini merupakan perkara yang tidak diketahui oleh orang awam secara umum, maka pegangan salah yang telah lalu adalah dimaafkan dan tidak perlu diqada. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Suyuti:

لِأَنَّ ذَلِكَ يَخْفَى عَلَى الْعَوَامّ

Maksudnya: Kerana ia merupakan perkara yang tersembunyi daripada orang awam (yakni tidak diketahui oleh orang ramai).

Imam al-Suyuti turut memberikan beberapa contoh isu-isu rumit yang tidak diketahui oleh masyarakat secara keseluruhannya atau kejahilan yang dimaafkan. Kata beliau:

وَمِنْ هَذَا الْقَبِيلِ أَعْنِي الَّذِي يُقْبَلُ فِيهِ دَعْوَى الْجَهْلِ مُطْلَقًا لِخَفَائِهِ كَوْنُ التَّنَحْنُحِ مُبْطِلًا لِلصَّلَاةِ، أَوْ كَوْنُ الْقَدْرِ الَّذِي أَتَى بِهِ مِنْ الْكَلَامِ مُحَرَّمًا، أَوْ النَّوْعِ الَّذِي تَنَاوَلَهُ مُفْطِرًا فَالْأَصَحُّ فِي الصُّوَرِ الثَّلَاثِ: عَدَمُ الْبُطْلَانِ

Maksudnya: Dan termasuk dalam kategori ini — yakni perkara yang diterima padanya dakwaan kejahilan secara mutlak kerana ia tersembunyi — ialah seperti mengetahui bahawa berdehem (ketika solat) membatalkan solat, atau mengetahui bahawa kadar percakapan yang diucapkan itu haram, atau jenis makanan/minuman yang diambil itu membatalkan puasa. Maka pendapat yang lebih sahih dalam ketiga-tiga situasi ini ialah: Tidak terbatal (ibadah tersebut).

Orang yang jahil perlu berusaha untuk terus mempelajari ilmu. Andai kejahilan dirinya itu disebabkan dia sengaja untuk tidak pergi belajar, maka tindakannya untuk kekal dalam kejahilan itu sendiri adalah satu perbuatan dosa.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 19

message user image