Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
" assalamualaikum, saya ingin bertanya. pasangan suami isteri yang melakukan persetubuhan ketika bulan puasa, adakah wajib ke atas suami untuk melakukan kaffarah walaupun dia tahu haram melakukan persetubuhan pada bulan puasa tetapi tidak mengetahui langsung tentang ilmu kaffarah. mohon bagi pencerahan untuk soalan saya ini "
diatas ini merupakan soalan saya dan saya ingin menambahkan sedikit pertanyaan. jika suami wajib melakukan kaffarah, dan contohnya suami tidak mampu untuk merdekakan hamba, dan dia tak mampu nak puasa 60hari berturut. jadi suami beri 60orang makan kepada fakir miskin. jika dia sudah melakukan kaffarah dengan memberi 60orang makan kepada fakir miskin, adakah dia perlu qada puasa tersebut? dan apakah dosa kami ini akan diampunkan oleh Allah ?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya kaffarah adalah denda bagi mereka yang melakukan kesalahan pada siang Ramadhan tidak termasuk waktu malam. Seseorang yang melakukan persetubuhan pada siang hari Ramadhan sama ada persetubuhan yang halal atau zina (berlawanan jenis mahupun sesama jenis) maka dia dikenakan kaffarah atas kesalahan yang dilakukan dan wajib menggantikan puasanya. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Maksudnya: Ketika kami duduk di samping Rasulullah SAW, seorang lelaki menemui Baginda, lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah! Aku telah binasa.’ Baginda bertanya: ‘Kenapa?’ Jawabnya: ‘Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.’ Dalam riwayat yang lain, dalam bulan Ramadan. Sabda Baginda: ‘Adakah kamu boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?’ Jawabnya: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawabnya: “Tidak.” Sabda Baginda: “Adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?’ Jawabnya: “Tidak.” Rasulullah SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, Nabi memberi sebakul tamar, lalu bersabda: ‘Di manakah orang yang bertanya tadi?’ Lelaki itu menjawab: “Aku.” Sabda Baginda lagi: ‘Ambillah tamar ini dan sedekahkan.’ Lelaki itu berkata: ‘Adakah ada orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih fakir daripada keluargaku di antara Timur dan Barat Madinah ini!’ Nabi SAW ketawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: “Berikan makan tamar itu kepada keluargamu. (Riwayat al-Bukhari)
Merujuk kepada soalan yang diajukan, suami puan wajib dikenakan kafarrah walaupun tidak mengetahui akan hukuman tersebut, kerana mengetahui akan pengharamannya, sekiranya membatalkan puasa Ramadhan dengan melakukan persetubuhan pada siang hari di bulan Ramadhan dengan sengaja. Jika membatalkan puasa terlebih dahulu dengan memakan sesuatu, maka kaffarah tidak dikenakan. Akan tetapi tetap berdosa kerana membatalkan puasa tanpa keuzuran dan wajib bertaubat.
Memandangkan hamba tidak lagi wujud pada zaman ini, maka tiada kaffarah dengan cara membebaskan hamba. Suami perlu mencuba dahulu untuk berpuasa selama 2 bulan berturut-turut seandainya mempunyai kemampuan untuk melakukannya. Seandainya tidak mampu melakukannya setelah mencuba, maka diharuskan untuk membayar kaffarah dengan memberi makan kepada 60 orang miskin.
Seandainya kaffarah telah ditunaikan dengan cara memberi makan kepada 60 orang miskin, suami tetap wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan.
Sekian, terima kasih.