Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya,bolehkah atau sahkan saya bayar zakat fitrah untuk mertua saya dahulu dan kemudian baru minta izin dari mereka.Saya pun tidak berkerja dan tidak punyai pendapatan tetap,Maafkan saya atas kekurangan ilmu dan atas pertanyaan saya ini.
Terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Islam yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Kewajipan membayar zakat fitrah bergantung kepada syarat-syaratnya iaitu Islam, menunaikannya apabila terbenamnya matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan dan memiliki lebihan harta untuk dirinya dan tanggungannya pada siang dan malam hari raya. Oleh itu, tanggungjawab bagi setiap individu Islam apabila cukup syarat seperti yang dinyatakan di atas, maka dia wajib untuk menunaikan zakat fitrah bagi dirinya sendiri serta tanggungannya yang wajib dinafkahi seperti anak yang masih kecil dan isteri.
Merujuk kepada persoalan tuan, kewajipan ibu mertua untuk membayar zakat adalah tanggungjawab atas dirinya sendiri sekiranya ia memenuhi syarat seperti yang disebutkan di atas. Ini kerana zakat fitrah merupakan satu ibadah badaniah iaitu ibadah yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu Muslim dan ia memerlukan niat daripada orang yang mengeluarkan zakat fitrah tersebut. Namun sekiranya menantu atau mana-mana saudaranya ingin menunaikan zakat fitrah untuk ibu mertua tersebut, maka hendaklah mendapat keizinannya terlebih dahulu. Sekiranya zakat fitrah dibayar tanpa mendapatkan keizinan ibu mertua terlebih dahulu, maka ia tidak dianggap memenuhi syarat sah niat orang yang membayar zakat fitrah.
Sekian, terima kasih.