BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum, saya ingin bertanyakan soalan, adakah seseorang yang meninggalkan puasa Ramadhan secara sengaja, perlu menggantikan puasanya dengan segera pada hari ke 2 hari raya atau boleh dilakukan secara beransur ansur jika bilangannya banyak?

 

 

Terima kasih ✨️


message user image

Jawapan  


وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadhan.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maka jelaslah puasa Ramadhan ini adalah perkara utama di dalam Islam yang tidak boleh ditinggalkan sekiranya tidak ada sebarang keuzuran apatah lagi dilakukan dengan sengaja.

Namun, apa yang perlu dilakukan bagi orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, atau melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan puasa terbatal selain daripada persetubuhan di siang hari disebutkan oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili:

من أفطر في رمضان بغير جماع، بأن أكل أو شرب، أو استعط ، أو باشر فيما دون الفرج فأنزل، أو استمني فأنزل، وكان يمكنه الصوم، وجب عليه قضاؤه قبل حلول شهر رمضان من العام الذي يليه،

Maksudnya: Sesiapa yang berbuka puasa ketika Ramadhan selain daripada jima’ dengan makan atau minum, atau memasukkan sesuatu (cecair atau ubat) ke dalam hidung, atau bersentuhan selain pada kemaluan kemudian terkeluar mani, atau melakukan onani, kemudian keluar mani. (Ketika melakukan semua perbuatan ini) dia berkemampuan untuk berpuasa, maka wajib qada’, sebelum masuk bulan Ramadhan tahun seterusnya. 

(Rujuk al-Mu’tamad, 2/200)

Kesimpulan berdasarkan soalan di atas, bahawa orang yang sengaja berbuka puasa di dalam bulan Ramadhan adalah berdosa besar kerana meninggalkan salah satu daripada rukun Islam.

Namun begitu, Allah SWT sangat mengasihani hamba-hambanya dengan memberi peluang untuk menebus kembali dosa tersebut. Maka, orang yang meninggalkan puasa di dalam bulan Ramadhan dengan apa cara sekalipun selain daripada jima’ di siang hari hendaklah menggantikan puasa tersebut secepatnya sebelum datang Ramadhan pada tahun berikutnya. Menggantikan puasa tidak menjadi suatu kemestian untuk terus dilakukan pada hari raya kedua, namun sekiranya dilakukan pada hari raya kedua dapat mengelakkan dari terlupa yang menyebabkan sampainya Ramadhan berikutnya maka perkara ini amatlah digalakkan.

Bagi mereka yang gagal menggantikan puasa sebelum datang Ramadhan berikutnya, hendaklah membayar fidyah mengikut kadar yang telah ditentukan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 6

message user image