Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM WBT. SAYA INGIN BERTANYA TENTANG PERMASALAHAN DARAH HAID DAN ISTIHADAH. SAYA SUCI DARI HAID PADA 2 RAMADHAN LALU. SAYA HAID SEKITAR 14 KE 15 HARI SETIAP BULAN. SETELAH SUCI 2 HARI SAYA SAYA MENGALAMI PENDARAHAN YANG BERWARNA COKLAT GELAP DAN KEHITAMAN TETAPI SEDIKIT SECARA TERPUTUS - PUTUS TETAPI BERLANJUTAN SEHINGGA KE HARI INI PADA 20 RAMADHAN. ADAKAH DARAH TERSEBUT DARAH ISTIHADAH? DAN JIKA DI KIRA KITARAN SEPATUTNYA PADA HARI INI ADALAH KITARAN HAID SAYA SEMULA. JADI HARI INI DIKIRA DARAH HAID ATAU ISTIHADAH KERANA MASIH BERSAMBUNG TIDAK PUTUS DARI HARI SELEPAS SAYA SUCI 2 HARI SELEPAS HAID PADA BULAN LEPAS.
Jawapan
Secara asasnya, had minimum tempoh haid adalah 1 hari 1 malam atau 24 jam. Had maksimum tempoh haid adalah 15 hari 15 malam. Tempoh minimum suci adalah 15 hari dan tiada tempoh maksimum bagi suci.
Berdasarkan kepada kenyataan yang diberikan, puan berhenti dari haid pada 2 Ramadhan. Selepas 2 hari tiada darah, puan didatangi darah cokelat gelap terputus-putus sehingga 20 Ramadhan. Manakala kebiasaan tempoh haid puan adalah 14 hingga 15 hari.
Diandaikan, haid puan sebelum ini adalah 15 hari, dan telah berhenti pada 2 Ramadhan. Selepas suci 2 hari, iaitu pada 4 Ramadhan, puan didatangi darah cokelat gelap terputus-putus sehingga 20 Ramadhan. Ini bermakna tidak berlaku percampuran di antara darah haid dan darah istihadah kerana tidak bersambung keluarnya darah pada hari ke 15 dan hari ke 16. Maka, darah yang keluar pada 4 Ramadhan hingga 18 Ramadhan adalah darah istihadhah, kerana ia keluar di dalam tempoh minimum suci 15 hari. Manakala darah yang keluar pada 19 Ramadhan dianggap sebagai haid yang baru.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.