Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Ketika saya sedang solat terawih bersama jemaah lain pada saf hadapan di surau kampung dan pada ketika itu saf hadapan sudah penuh. Selepas itu datang seorang makmum lain (makcik) yang ingin solat juga tetapi dia keseorangan dalam saf kedua tersebut, makcik itu menyuruh saya untuk turun ke belakang saf bersama dengan dia untuk menyambungkan saf kedua tersebut. Jadi persoalan saya adakah boleh berbuat demikian? Sedangkan apabila saya turun ke saf kedua, hal ini akan menyebabkan saf hadapan tidak sempurna dan tidak lengkap tetapi jika saya tidak turun, maka dia akan solat sendirian dalam saf kedua dibelakang. Mohon pencerahan dari pihak mufti dan bagaimana saya boleh terangkan kepada jemaah lain sekiranya situasi saya ini akan berulang lagi. Sekian terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, di dalam mazhab Shafi'i solat di belakang saf seorang diri hukumnya adalah sah tetapi makruh, dalam erti lain solatnya sah namun boleh menghilangkan pahala jamaah. Berkata Imam Khatib al-Syirbini: “Dan dimakruhkan bagi (makmum) untuk solat bersendirian belakang imam), dan hendaklah dia masuk ke dalam saf sekiranya ada kelapangan (tempat)”. Hal ini adalah berdasarkan hadis Nabi S.A.W:
اسْتَقْبِلْ صَلاَتَكَ لاَ صَلاَةَ لِلَّذِي خَلْفَ الصَّف
Maksudnya: Ulangi solat kamu, tidak ada solat untuk orang yang berada di belakang saf. (Riwayat Ibn Majah)
Di dalam kitab al-Majmuk Sharh al-Muhadhdhab: Hadis ini di sisi sebahagian ulama mengatakan bahawa maksud hadis tersebut ialah tidak ada (kesempurnaan) solat orang yang solat bersendirian di belakang saf.
Justeru, apa yang dilakukan oleh puan adalah perkara yang dibenarkan di sisi syarak kerana perbuatan tersebut dapat membantu sesama muslim meraih pahala yang sempurna ketika solat berjemaah dan dapat menjauhkan perkara yang makruh dari berlaku. Adapun saf yang pertama telah dikira sempurna dan memenuhi tuntutan syarak. Selain itu, saf pertama akan dipenuhi oleh jemaah yang baru masuk ke dalam dewan solat.
Sekian, terima kasih.