Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan
Sy Ahmad Fairuz ingin bertya berkenaan solat jamak & qasar
Sy telah bermusafir lebih dri 2 marhalah Dan telah menunaikan solat jamak takdim & qasar utk solat zohor & asar. Soalannya, adakah sah solat sy bila pd Hari yg sama sy balik semula kerumah sy sedangkan waktu solat asar masih Ada lgi bila sy sampai dirumah
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, menurut mazhab Shafi'i antara syarat bagi melaksanakan solat jamak dan qasar mestilah masih berada dalam keadaan musafir ketika solat tersebut dilaksanakan. Adapun jamak taqdim antara syaratnya ialah seseorang itu masih dalam keadaan musafir sehingga memulakan solat yang kedua (takbiratul ihram solat kedua). Oleh itu, tidak menjadi masalah sekiranya sampai semula ke tempat asalnya ketika solat yang kedua masih belum selesai. Justeru, mengikut situasi yang tuan jelaskan, solat jamak dan qasar tersebut adalah sah kerana tuan melaksanakannya dalam keadaan masih bermusafir serta tidak perlu diulang semula solat yang kedua walaupun setelah tiba di kawasan tempat tinggal dan masih belum masuk waktu solat kedua atau sudah masuk waktu dan masih berbaki waktu solat kedua.
Sekian, terima kasih.