Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya, jika haidnya selama 7 hari kemudian bermandi wajib seterusnya keluar darah lagi pada hari ke 14. Haidnya setiap bulan dalam lingkungan 7-11 hari. Adakah puasa untuk hari ke 8-13 tu sah atau tidak? Mohon pemcerahannya.
Jawapan
Secara asasnya, had minimum haid adalah 1 hari 1 malam atau 24 jam. Had maksimum haid adalah 15 hari 15 malam. Had minimum suci adalah 15 hari dan tiada had maksimum bagi suci.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sekiranya darah keluar semula pada hari ke 14 sahaja, atau keluar juga pada hari ke 15 dan tidak melebihi hingga ke hari ke 16, maka sepanjang tempoh hari pertama hingga ke hari 14 atau hari ke 15 adalah dianggap sebagai tempoh haid, kerana darah yang keluar tidak melebihi tempoh maksimum haid 15 hari.
Ini bermakna, solat dan puasa yang dilakukan pada hari ke 8 hingga hari ke 13 adalah tidak sah, namun tetap mendapat pahala. Jika berlaku pada bulan Ramadhan, puasa tersebut perlu diganti.
Jika darah yang keluar pada hari ke 14 berterusan sehingga melebihi 15 hari (had maksimum haid), maka ini bermakna telah berlaku percampuran di antara darah haid dan darah istihadhah. Apabila perkara ini berlaku, terdapat 2 kaedah yang digunakan bagi menentukan darah haid atau darah istihadhah:
Pertama: Kaedah tamyiz, iaitu apabila dapat membezakan sifat darah. Darah yang gelap dianggap sebagai darah haid, dan darah yang cerah dianggap sebagai istihadhah. Sekiranya darah yang keluar pada hari pertama hingga ke hari ke 7 adalah berwarna gelap, manakala pada hari ke 14 hingga melebihi hari ke 15 darah berwarna cerah, ini bermakna dapat dibezakan warna darah. Dalam keadaan ini, hari pertama hingga hari ke 7 dikira sebagai darah haid, hari ke 8 hingga ke hari ke 13 hari suci, manakala hari ke 14 dan seterusnya adalah darah istihadhah. Ibadah solat dan puasa yang dilakukan pada hari ke 8 hingga hari ke 13 adalah sah. Namun, sekiranya pada hari ke 14 tidak solat, maka ia perlu diganti.
Sebaliknya, jika darah yang keluar pada hari ke 14 dan seterusnya sama sifat dengan darah yang keluar pada hari pertama sehingga hari ke 7, ini bermakna sifat darah tidak dapat dibezakan. Apabila darah tidak dapat dibezakan, maka kaedah kedua hendaklah digunakan iaitu: Kaedah adat. Kaedah adat bermaksud merujuk kepada adat haid yang berlaku pada kitaran haid yang sebelumnya. Sekiranya dalam kitaran haid yang sebelum itu adalah 11 hari, maka kita kira haid pada bulan semasa adalah 11 hari. Memandangkan darah yang keluar pada bulan semasa 7 hari sahaja, maka tempoh haid dikira 7 hari sahaja.
Sekian, terima kasih.