Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanyakan tentang gabungan antara puasa qada ramadhan dan puasa sunat 6 syawal. Saya telah membuat kajian ada pendapat yang menyatakan ia adalah sah dan lebih afdhal jika diasingkan. Soalan saya adalah sekiranya saya mengabungkan antara puasa qada ramadhan dan puasa 6 syawal sekali tetapi qada puasa ramadhan sebanyak 8hari. Adakah dibolehkan saya untuk terus berpuasa selama 8hari di bulan syawal atau saya perlu berhenti sekejap dalam sehari macamtu pada puasa ke 6 dan menggantikan baki puasa lagi 2 tu pada hari lain. Terima kasih sudi membantu
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, puasa sunat 6 hari di bulan Syawwal dan puasa qada’ tidak disyaratkan untuk dilakukan secara berturut-turut. Oleh itu, puan boleh memilih sama ada:
Berpuasa selama 8 hari di bulan Syawwal dengan menggabungkan niat puasa sunat Syawwal dan qada’ Ramadhan selama 6 hari, kemudian 2 hari dengan niat puasa qada’ atau,
Berpuasa selama 6 hari di bulan Syawwal dengan menggabungkan niat puasa sunat Syawwal dan qada’ Ramadhan, kemudian berhenti sekejap dan melaksanakan baki hari puasa qada’ pada bulan yang sama atau mana-mana bulan berikutnya.
Kedua-dua cara ini adalah sah.
Sekian, terima kasih.