BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz sy nk bertnya, air dlm lubang tandas kan najis? Sekiranya mangkuk tandas itu basah adakah semuanya najis? Maaf sebab fikiran ini tiba2 datang. Bagaimana dengan solat2 saya sebelum ini. Doakan sy juga dapat faham agama.

 

terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, bau, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, warna dan rasa. Merujuk kepada persoalan tuan:

1) Air di dalam lubang tandas biasanya dianggap bersih selagi tiada kesan jelas najis seperti warna, bau, atau rasa yang berubah.

2) Sekiranya mangkuk tandas itu basah dan tiada kesan yang jelas terdapatnya najis, maka ia kekal suci. Oleh itu, air percikan daripada mangkuk tandas tidak dianggap bernajis melainkan terdapat kesan ain najis sama ada warna, bau atau rasa. Seandainya tiada atau tidak dapat dipastikan kewujudannya, maka ia adalah suci. 

3) Jika air itu terpercik pada pakaian atau tubuh badan tetapi anda tidak pasti sama ada ia najis atau tidak, maka ia dianggap suci. Kaedah fiqh mengatakan bahawa:

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal setiap sesuatu itu adalah suci.

Adapun najis itu adalah perkara yang mendatang dan ia perlu dibuktikan dengan yakin dan bukan sekadar syak atau ragu-ragu.

3) Jika menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Jika sekadar ragu-ragu atau samar-samar tanpa bukti yang kukuh, maka abaikan sahaja perasaan tersebut. Solat-solat sebelum ini adalah sah dan tidak perlu diulang semula. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 28

message user image