Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt. Saya ingin bertanya bab air mazi. Saya seorang yang mudah terangsang dan keluar air mazi( bukannya sepanjang waktu keluar mazi). Mengikut pengetahuan saya, dalam mazhab syafie hukum air mazi adalah najis dan perlu bersuci dan berwudhuk selepas masuk waktu solat, dan hanya sah untuk satu solat fardhu.
Keadaan ini sedikit sebanyak menyebabkan saya merasa sukar dan malas untuk solat( lebih- lebih lagi untuk solat berjemaah di masjid)
Soalan saya.. adakah terdapat pendapat lain dalam mazhab syafie atau diluar mazhab syafie yg lebih ringan bab mazi ini? Cth mazi tidak dianggap najis dan boleh dibawa solat.. atau contoh jika sedikit hukumnya dimaafkan
Terima kasih tuan/ustaz..
Jawapan
Ulama bersepakat bahawa air mazi adalah cairan dari kemaluan yang dikategorikan sebagai najis dan boleh membatalkan wuduk. Hatta jika seseorang yang sedang melakukan solat dan dapat merasai keluarnya air mazi, maka solatnya akan batal dan wajib membasuh kemaluanya dan mengambil wudhuk untuk mengulanginya semula solat tersebut.
Umum juga sedia maklum, bahawa mazi adalah najis yang biasanya akan keluar apabila seseorang terlalu banyak memikirkan soal seks atau perkara yang boleh meransang nafsu syahwatnya, faktor keletihan kerana berkerja keras atau disebabkan oleh penyakit.
Daripada pernyataan yang saudara berikan, jika mazi hanya keluar bila terangsang dan tidak sentiasa menitik, maka tidak dikira uzur, dan tetap perlu bersuci setiap kali ia berlaku.
Namun, jika mazi saudara keluar sekali sekala, dengan maksud, ada masa keluar banyak dan ada masa seperti biasa atau tiada, maka lebih baik saudara mencari waktu yang sesuai untuk membasuh kemaluan dan mengambil wuduk untuk solat seperti biasa. Boleh juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan kain pelapik, atau tisu atau panty liner bagi meastikan tidak terkena dengan pakaian dan boleh diganti sebelum memulakan solat.
Kesimpulannya, air mazi adalah najis dan tidak dimaafkan bagi individu yang sihat serta normal. Namun, bagi mereka yang mengalami keadaan tertentu seperti daim al-hadas (sentiasa berhadas) atau salasil al-baul (tak lawas kencing), najis masih kekal kenajisannya namun ia dimaafkan kerana keadaan ini dikategorikan sebagai uzur syar‘ie, namun terdapat tatacara yang perlu dilakukan sebelum solat fardu.
Oleh itu, adalah disarankan untuk mengelakkan sebarang perkara yang boleh menyebabkan keluarnya air mazi. Namun, jika ia keluar secara berterusan tanpa sebab yang jelas, maka sebaiknya dapatkan pemeriksaan dan rawatan daripada pakar perubatan. Ini kerana secara umumnya, air mazi keluar akibat rangsangan, dan jika berlaku secara berterusan tanpa rangsangan, ia mungkin menandakan masalah kesihatan yang memerlukan perhatian.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.