Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya bermastautin di johor (rumah & keluarga di johor) tetapi saya bekerja di KL. Saya akan tiba di KL pada hari isnin dan pulang ke johor pada hari khamis. Contract bekerja saya adalah selama 2 tahun. Di KL, saya menyewa bilik. Adakah saya di kira bermukim di KL? Bolehkah saya melakukan solat jamak & qasar pada hari selasa & rabu iaitu hari bekerja saya. Manakala hari Isnin & khamis adalah hari perjalanan dan saya melalukan solat jamak & qasar.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, antara syarat yang dibenarkan bagi jamak dan qasar solat adalah mereka bermusafir bukan bermastautin atau bermukim pada sesuatu tempat. Hal ini adalah selari sepertimana yang disepakati oleh para ulama’ dari kalangan mazhab Syafie mengatakan:
Maksudnya: Orang yang tidak bermastautin ialah seseorang yang bermukim pada satu tempat dengan berazam untuk pulang semula ke kota asalnya selepas suatu tempoh, walaupun selepas tempoh yang lama.
Justeru, mengikut situasi yang tuan alami tuan telah dikira sebagai bermukim di KL dan tidak boleh melakukan jamak dan qasar ketika sampai ke kawasan rumah tuan di sana dan sesampainya tuan di rumah Johor (rumah & keluarga di johor). Akan tetapi, tuan boleh melakukan solat jamak qasar ketika perjalanan pergi dan balik kerana jarak di antara Johor dan Kuala Lumpur melebihi 2 marhalah.
Sekian, terima kasih.