BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan/puan,

Saya ada beberapa persoalan/ kemusykilan mengenai sertu:

1)adakah dibolehkan menggunakan tanah yang diambil di bendang atau sawah padi dan di campur dengan air mutlak untuk proses sertu?

 

2)baru-baru ni dekat motor saya ada air kencing tapi saya tak pasti sama ada air kencing tu dari anjing atau kucing.Saya sertu motor saya sebab rasa was.Sebelum saya sertu motor,saya sembur dulu air kencing di motor saya guna air dalam botol spray(tidak pasti air spray tu percik kena bahagian motor yang lain),kemudian saya biarkan sekejap dan saya tengok ain najis tersebut sudah tiada.Seterusnya saya jirus dengan air lumpur dan 6 kali air mutlak.Adakah air yang terpercik dari air spray tu najis dan air tanah yang saya jirus tu adakah ia juga bernajis?

 

3)saya ada seluar yang terkena najis mughallazah(air kencing).Saya dah tercampur seluar tersebut(tidak pasti masa campur tu seluar tu dalam keadaan basah atau kering sebab dah lupa) dengan pakaian lain di dalam raga baju kotor yang belum dibasuh.Kemudian baju(najis hukmi) yang saya rasa terkena seluar najis tu bercampur pula dengan pakaian adik saya.Saya juga tidak pasti pakaian adik saya tu dalam keadaan basah/lembab/kering ketika mencampurkannya bersama baju najis hukmi tersebut.Bila saya nak basuh pakaian adik saya tersebut,pakaian tu telah kering disebabkan lama berada dalam raga baju kotor.Adakah baju adik saya turut terkena najis hukmi mughallazah disebabkan berpindahnya najis tersebut?

 

Semoga pihak tuan/puan sudi menjawab persoalan saya ini.Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

  1. Tanah yang diambil dari bendang atau sawah adalah dikategorikan sebagai bahan alam yang suci lagi menyucikan. Ia boleh digunakan untuk sertu jika tidak terdapat padanya sebarang najis yang jelas kelihatan.

  2. Disebabkan tidak yakin najis tersebut dari asal yang mana, memadai menganggapnya sebagai najis biasa iaitu dikategorikan sebagai najis mutawassitah (pertengahan). Oleh itu juga, memadai membersihkan air kencing tersebut seperti biasa dan bukan sertu. Adapun air yang terpercik daripada basuhan tersebut tidak dikira najis jika yakin basuhan tersebut telah menghilangkan najis terlebih dahulu.

  3. Pakaian yang diyakini terkena najis mughallazah seperti air kencing anjing atau terkena najis lain sekalipun (mutawassitah atau mukhaffafah) perlu diasingkan untuk dihilangkan kesan najisnya terlebih dahulu. Dari sudut pembersihan pakaian, perlu difahami di sini bahawa jika pakaian tersebut dibasuh di dalam mesin basuh automatik, maka pakaian yang dibasuh sudah dianggap suci kerana penggunaan mesin basuh automatik adalah menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian yang terkena najis jenis mutawassitah dan mukhaffafah. Adapun pakaian yang telah bercampur dengan pakaian yang terdapat padanya najis, pakaian yang telah dicampur tersebut tidak dikira bernajis dan pakaian yang terdapat padanya najis tidak memindahkan najis selagi mana jelas tidak kelihatan najis yang ada terkena pakaian yang lain.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 11

message user image