Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya berusia 37 tahun dan hendak bertanya mengenai puasa saya. Kali terakhir saya berpuasa penuh 1 hari adalah pada tahun 2022. Pada tahun yang sama saya dijangkiti covid sehingga menyebabkan saya menghadapi sakit jantung dan kini dibawah seliaan IJN. Saya sememangnya sudah mempunyai penyakit gastrik dan pemakanan ubat yang banyak pada awal sakit ini (9 jenis ubat) telah menyebabkan gastrik saya bertambah teruk. Disamping itu saya juga menghidap pancreas cyst yang agak besar yang menyumbang kepada keadaan perut saya. Setiap tahun saya juga akan membuat scope perut maksimum 2x setahun untuk pemantauan pancreas cyst saya. Saya cuba untuk berpuasa penuh 1 hari tetapi paling maksimum saya boleh hanyalah sehingga 4petang walaupun saya akan bersahur pada lewat waktu dan makan ubat. Sehingga 4 petang badan saya seakan mahu pengsan, saya akan mengalami gejala jantung yang laju, pening kepala , seakan hendak pitam dan perut yang sangat tidak selesa. Setiap hari saya cuba untuk berpuasa penuh tetapi tidak mampu. Ini menyebabkan perut saya akan sentiasa di dalam keadaan kembung berangin dan akan menekan dada saya walaupun setiap hari memakan ubat gastrik sehingga beberapa kali saya perlu ke klinik untuk cucuk. Persoalan saya:
1) Bagaimana dengan hukum puasa saya jika sekiranya saya mampu sehingga petang sahaja
2) Bagaimana saya hendak mengganti puasa (selain bayaran fidyah) dari tahun 2022 tetapi saya tidak mampu untuk berpuasa penuh 1 hari tetapi sehingga kini masih tidak mampu.
Harap pihak Tuan dapat membantu saya, sesungguhnya saya buntu.
Terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Bagi golongan yang tidak mampu berpuasa dan tidak berupaya menggantinya seperti orang sakit yang disahkan menghidap penyakit kritikal oleh doktor perubatan di mana mereka tiada harapan untuk sembuh dan orang tua yang tidak lagi berkemampuan untuk berpuasa disebabkan keuzurannya, maka mereka diberi keuzuran untuk tidak berpuasa serta tidak perlu qada puasanya pada hari lain sebaliknya hanya perlu membayar fidyah sahaja, iaitu memberi makan secupak makanan asasi kepada fakir atau miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam al-Taqrīrāt al-Sadīdah:
Maksudnya: Perkara yang hanya dikenakan fidyah tanpa perlu qada adalah sepertimana keadaan orang tua yang uzur, dan orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh.
Perkara ini dibahaskan bersandarkan kepada ayat وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ. Sheikh Abū Bakr Uthmān Shaṭā dalam I‘ānat al-Ṭālibīn menjelaskan makna ayat tersebut, bahawa:
Maksudnya: Iaitu tidak berkemampuan berpuasa atau yang dimaksudkan adalah berkemampuan ketika usia mudanya dan ketika sihat, kemudian menjadi lemah kerana semakin berumur (uzur) atau ditimpa sakit yang tiada harapan untuk sembuh.
‘Atā’ - rahimahullah - meriwayatkan bahawa beliau mendengar Ibn Abbās RA mengatakan:
Maksudnya: Kata Ibn ‘Abbas: Ayat ini tidak dinasakhkan (dimansuhkan) pada hak lelaki dan perempuan yang uzur yang mana mereka tidak mampu berpuasa, lalu mereka perlu memberi makan orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. (Riwayat al-Bukhārī)
Oleh itu, dapat difahami bahawa ibadah puasa Ramadhan pada asalnya adalah wajib ke atas semua mukalaf, namun disebabkan kekangan faktor umur yang kian meningkat dan uzur, atau kerana ditimpa sakit yang tiada harapan untuk sembuh, maka dibolehkan bagi mereka untuk tidak berpuasa dan tidak perlu mengqadanya mengikut kesepakatan para ulama. Bahkan, mereka hanya perlu melunaskan tuntutan fidyah sahaja. Jika dia tidak berkemampuan untuk membayar fidyah, maka kewajipan tersebut perlu dipenuhi apabila dia sudah mampu.
Sekian, terima kasih.