BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalam, apakah wajib melakukan kafarah untuk lelaki yang telah melakukan perbuatan zina pada siang hari di bulan puasa?. Semasa melakukan perbuatan tersebut, saya memang tidak mengetahui hukum bersetubuh di bulan puasa dan kafarah di bulan puasa. Yang saya tahu puasa akan batal ketika air mani keluar. Saya terbaca di beberapa portal lain bahawa hukum kafarah terlepas kepada sesiapa yang tidak tahu. Adakah kes saya termasuk dalam perkara ini?


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Seseorang yang melakukan persetubuhan pada siang hari Ramadhan sama ada persetubuhan yang halal atau zina maka dia dikenakan kaffarah atas kesalahan yang dilakukan dan wajib menggantikan puasanya. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: «مَا لَكَ؟» قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «‌هَلْ ‌تَجِدُ ‌رَقَبَةً ‌تُعْتِقُهَا؟» قَالَ: لَا، قَالَ: «فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ»، قَالَ: لَا، فَقَالَ: «فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا». قَالَ: لَا، قَالَ: فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ – وَالعَرَقُ المِكْتَلُ – قَالَ: «أَيْنَ السَّائِلُ؟» فَقَالَ: أَنَا، قَالَ: «خُذْهَا، فَتَصَدَّقْ بِهِ» فَقَالَ الرَّجُلُ: أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لَابَتَيْهَا – يُرِيدُ الحَرَّتَيْنِ – أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ، ثُمَّ قَالَ: «أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ»

Maksudnya: Ketika kami duduk di samping Rasulullah SAW, seorang lelaki menemui Baginda, lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah! Aku telah binasa.’ Baginda bertanya: ‘Kenapa?’ Jawabnya: ‘Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.’ Dalam riwayat yang lain, dalam bulan Ramadan. Sabda Baginda: ‘Adakah kamu boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?’ Jawabnya: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawabnya: “Tidak.” Sabda Baginda: “Adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?’ Jawabnya: “Tidak.” Rasulullah SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, Nabi memberi sebakul tamar, lalu bersabda: ‘Di manakah orang yang bertanya tadi?’ Lelaki itu menjawab: “Aku.” Sabda Baginda lagi: ‘Ambillah tamar ini dan sedekahkan.’ Lelaki itu berkata: ‘Adakah ada orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih fakir daripada keluargaku di antara Timur dan Barat Madinah ini!’ Nabi SAW ketawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: “Berikan makan tamar itu kepada keluargamu. (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan situasi yang dialami, tuan perlu membayar kaffarah iaitu berpuasa selama dua bulan berturut-turut atau jika tidak mampu berpuasa hendaklah memberi makan kepada 60 orang fakir miskin. Tambahan pula melakukan perbuatan dosa seperti berzina menjadi satu perkara yang sememangnya diketahui larangannya untuk dikerjakan sama ada dalam bulan puasa atau sebaliknya. Perkara ini jelas dihukumkan sebagai satu dosa besar yang wajib kepada taubat nasuha. Adapun situasi yang tidak perlu dikenakan kaffarah adalah hanya bagi mereka yang dikategorikan sebagai jahil ma'zur iaitu:

1) Tidak sampai seruan Islam kepadanya.

2) Tinggal jauh daripada orang alim.

Namun realiti pada hari ini dengan kecanggihan teknologi yang ada membolehkan kita mengetahui hukum hakam dengan sebaiknya. Tambahan pula, pencerahan berkenaan kaffarah ini telah banyak dijelaskan oleh para agamawan serta badan-badan yang berautoriti. Oleh itu, tuan dinasihatkan agar bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha atas kesalahan yang dilakukan serta wajib melaksankan kaffarah sebagaimana yang telah dijelaskan. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa-dosa kita dan menggolongkan dalam kalangan hamba-hambanya yang beriman.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 22

message user image