Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz.
Beberapa hari lepas saya ada masuk ke kebun sawit bertanah gambut untuk buat pembersihan bersama kawan saya. Ketika kejadian, hujan sedikit lebat dan kawasan kebun basah dan berlecak kerana hujan berterusan selama dua hari berturut. Semasa saya berjalan di dalam kebun, saya terjatuh ke dalam lubang yang bertakung air. Saya tidak perasan lubang tersebut kerana kepala menoleh ke kiri dan kanan untuk mencari sampah yang ada. Saya menyangka lubang tersebut adalah hasil mendapan tanah kerana kawasan tanah gambut mudah mendap, dan tidak terfikir terdapat apa-apa najis.
Kawan saya perasan saya terjatuh dan mengatakan itu merupakan kubang babi. Namun pada pemerhatian saya tiada bau, rasa, atau warna najis babi ketika itu tambahan pula keadaan hujan yang lebat. Tetapi, apabila kembali ke pejabat, rakan-rakan yang lain mengusik saya tentang kejadian jatuh di dalam kubang babi, dan ada yang menyatakan jangan dekat dengan saya kerana saya belum sertu. Keadaan tersebut membuatkan keyakinan saya sebelum ini menjadi ragu.
Jadi perlukah saya menyertu tubuh badan, dan pakaian yang saya guna ketika itu? Perlukah jugak saya menyertu setiap jejakan/barang sentuhan saya selepas terjatuh dari kawasan itu seperti bilik pejabat, rumah, pinggan, sudu dan sebagainya? Bagaimana pula dengan cucian pakaian tersebut yang bercampur dengan pakaian lain? Dan perlukah disertu mesin basuh tersebut?
Mohon diberikan pencerahan terhadap persoalan saya selama beberapa hari ini ustaz.
Terima kasih.
Jawapan
Dalam Islam, sesuatu itu dianggap suci selagi tidak ada bukti yang jelas ianya bernajis atau terkena najis. Jika hanya ragu-ragu tanpa kepastian, maka ianya kekal suci dan tidak perlu untuk melakukan sertu. Sehubungan itu, jika menghukumkan sesuatu itu adalah bernajis hanya sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Jika sekadar ragu-ragu atau samar-samar tanpa bukti yang kukuh, anda tidak perlu sertu. Islam tidak membebankan seseorang dengan perkara yang tidak jelas dan mengelakkan diri daripada perasaan was-was.
Oleh itu, merujuk kepada keadaan yang berlaku berdasarkan kenyataan yang diberikan bahawa saudari tidak pasti terdapat najis babi yang mengenai saudari, maka tidak perlu disertu.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.