Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
maaf saya ada masalah,saya ada baca hukum aor liur basi ada dua ,najis dan bukan najis....jadi persoalan saya , air liur saya masa tidur tu keluar tapi saya tak pasti tu air liur tu dari perut atau mulit sebab mula -mula tu macam nampak bekas air liur tapi lama-lama hilang jadi saya tak pasti jenis air liur tu.....sbb saya ada baca tanda2 air liur yg bernajis nampak bentuk ye
tapi ada tu air tumpah atas tilam saya hanpir keseluruhan tilam tu basah jadi saya nak tanya la adakah tilam saya dikira bernajis ? dan najis tersebut berpindah tempat ke disebabkan air tersebut
Jawapan
Asal bagi air liur yang keluar dari mulut seorang manusia adalah suci. Telah diceritakan oleh Saidatina Aisyah RA. Kata beliau:
Maksudnya: “Aku minum pada ketika itu aku datang haid. Kemudian aku bawakan bekas minuman tadi kepada Nabi saw lalu Baginda meletakkan mulutnya di tempat yang aku minum tadi lantas Baginda minum.”
(Riwayat Muslim, No 453)
Pun begitu, terdapat perinciannya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Shirbini: dalam Mughni al Muhtaj 1/79, menyatakan jika berasal dari perut, seperti keluar dengan bau yang busuk di samping warna kuning maka hukumnya adalah najis. Namun begitu, tidak dikira najis jika ianya berasal daripada selain perut. Atau jika syak sama ada air liur yang keluar berasal dari perut atau bukan, maka ia dikira suci.”
Melalui kajian sains, kita tahu bahawa perut tidak menghasilkan air liur tetapi asid. Campuran air liur dan asid yang naik ke kerongkong dan menyebabkan pedih tekak, pedih ulu hati, mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, dan rasa masam. Ia mungkin berkait rapat dengan Gastro Esophageal Reflux Disease (GERD). Itulah yang dimaksudkan para ulama’ kita dengan air liur “daripada perut” yang bernajis. Manakala air liur yang keluar daripada mulut, yakni tanpa sebarang petanda yang disebutkan, maka ia suci. Pun begitu, sunat membasuh pakaian yang terkena air liur semasa tidur. Jika terlupa, ia dimaafkan.
Kesimpulan berdasarkan soalan di atas, hukum bagi air liur ada dua. Sekiranya air liur tersebut dari mulut maka hukumnya suci. Manakala, jika ia keluar dari perut maka hukumnya adalah najis. Justeru, sekiranya syak sama ada dari perut atau mulut maka ia juga dikira suci walaupun air liur tersebut bercampur dengan air. Ini kerana tidak diketahui puncanya maka boleh dianggap suci.
Sekian, terima kasih.