Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Saya ingin bertanya tentang cara bayaran nazar memberi makan kepada 30 orang miskin. Bolehkah dibayar melalui zakat selangor? Jika boleh, berapakah bayaran yang perlu dibuat? Mohon penjelasan. Terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Nazar adalah mewajibkan ke atas diri sendiri perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.
Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pihak yang menguruskan bayaran fidyah dan kafarah nazar adalah pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor dan bukannya Lembaga Zakat Selangor. Pada masa ini pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor tidak menyediakan perkhidmatan menunaikan nazar memberi makan kepada fakir miskin. Walau bagaimanapun, pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor, boleh menyediakan senarai fakir miskin yang layak.
Untuk itu, tuan bebas memberikan apa jua bentuk makanan asalkan ia dianggap sebagai makanan yang mengenyangkan secara uruf setempat. Justeru tuan boleh mengagihkan sendiri kepada individu yang layak atau melalui institusi kebajikan yang dipercayai seperti masjid dan sebagainya..
Sekian, terima kasih.