Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada sedikit keraguan berkaitan haid. Saya datang haid pada 10/3/2025 - 16/3/2025. Seterusnya, saya berpuasa pada 17/3/2025 kerana sudah diyakini suci dari hadas. Tetapi pada 24/3/2025, saya mendapati ada kesan tompokan coklat yang keluar, adakah itu dikira haid? Dan adakah puasa saya dari 17/3 sehingga 23/3 sah atau tidak? Mohon pencerahan, terima kasih
Jawapan
Tempoh maksimum bagi kitaran haid adalah 15 hari 15 malam manakala tempoh minimumnya adalah sehari semalam (24 jam). Secara asasnya, darah yang keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid menunjukkan berlakunya percampuran antara darah haid dan darah istihadhah manakala darah yang kurang daripada sehari semalam tidak dikira haid. Merujuk kepada soalan puan, 24hb adalah hari terakhir tempoh maksimum haid (15 hari).
Bagi menentukan perbezaan darah haid atau istihadhah, ia boleh dikenal pasti dengan dua kaedah, iaitu perbezaan warna darah (Kaedah Tamyiz) dan Kaedah Adat kebiasaan.
Merujuk kepada penyataan puan, terdapat dua kemungkinan pada maklumat yang diberikan iaitu sama ada darah tompokan coklat berterusan selepas 24hb atau darah tompokan coklat berhenti pada 24hb juga.
1. Sekiranya darah tompokan coklat berterusan selepas 24hb, bermaksud tempoh haid telah bercampur dengan istihadhah. Secara asasnya, darah yang keluar berterusan melebihi tempoh 15 bhari 15 malam menunjukkan berlakunya percampuran antara darah haid dan darah istihadhah. Bagi menentukan perbezaannya, ia boleh dikenal pasti dengan dua kaedah iaitu:
2. Sekiranya darah tompokan coklat berhenti pada 24hb, maka 24hb itu dikira hari terakhir haid yang bermula pada 16hb. Tempoh hari yang tidak keluar haid telah berlakunya naqa’. Ia dikategorikan sebagai naqa’ kerana masa tersebut tidak melebihi 15 hari 15 malam yang berada di celah-celah darah haid. Yakni jika dihitung hari-hari keluar darah haid pertama dan akhir bersama dengan hari naqa’ yang berada di antara kedua-duanya, ia tidak melebihi 15 hari 15 malam iaitu tempoh maksimum haid. Jadi tempoh naqa’ ini dihukumkan haid juga. Maka tempoh haid Puan adalah selama 15 hari, 10hb sehingga 24hb.
Kesimpulannya, sekiranya puasa yang dilaksanakan pada 17hb hingga 23hb tidak termasuk dalam tempoh haid menurut situasi puan berpandukan kaedah kiraan di atas, maka puasa Puan dikira sah.
Sekian, terima kasih