Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam Tuan,
Saya ada baca ulasan tuan cara pengiraan haid bagi orang yang keluar darah secara berterusan melebihi 15 hari. Saya ada soalan yang ingin diajukan untuk mendapatkan kejelasan dalam kes saya ini.
Saya telah keluar darah selama 34 hari termasuk harini, dan kitaran terakhir saya ialah 13 hari haid dan 31 hari tempoh suci. Kitaran ini adalah tidak normal dari kebiasaan kitaran saya.
Haid saya pada kebiasaanya ialah sekitar 7-9 hari dan mempunyai kitaran yang berbeza, 31-37 hari (majoritinya). Adakah saya perlu menggunakan kitaran yang terbaru, iaitu kitaran 13 hari haid dan 31 hari suci itu, atau kitaran kebiasaan saya, iaitu 7-9 hari haid dan 31-37 tempoh suci.
Harap pihak tuan dapat membantu saya kerana saya mengalami masalah ini dalam bulan Ramdhan. Saya keliru dengan ibadah solat dan puasa saya. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Tempoh maksimum bagi kitaran haid adalah 15 hari 15 malam. Manakala tempoh minimumnya adalah sehari semalam (24 jam). Secara asasnya, darah yang keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid menunjukkan berlakunya percampuran antara darah haid dan darah istihadhah. Bagi menentukan perbezaannya, ia boleh dikenal pasti dengan dua kaedah, salah satunya melalui perkiraan adat kebiasaan. Kaedah ini adalah dengan melihat adat kebiasaan tempoh haid puan pada bulan sebelumnya.
Merujuk soalan yang diajukan, puan perlu menggunakan adat bulan sebelum iaitu 13 hari haid dan 31 hari suci. Telah disebutkan dalam Risalah al-Nubras oleh Syeikh Ahmad Soleh bahawa perkiraan adat bagi haid dan suci boleh ditetapkan dengan hanya sekali kejadian sahaja (satu kali) dan ia difahami sebagai adat haid dan suci yang paling terkini.
Sekian, terima kasih.