Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Sah tak wuduk ketika basuh dahi tak menyeluruh 1 kepala? Sebab rambut sedang rawatan rambut tidak boleh kena air selama beberapa hari
Jawapan
Berdasarkan soalan, perlu difahami anggota wuduk ialah muka, kedua-dua tangan hingga ke siku, sebahagian kepala, kedua-dua kaki hingga ke buku lali.
Seterusnya, bahagian muka secara menegak adalah daripada tempat tumbuh rambut hingga bahagian bawah dagu, manakala secara melintang pula adalah daripada bahagian telinga ke telinga.
(Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 1/54)
Manakala bahagian kepala pula Syeikh Saʿīd al-Ḥadrami menyebutkan mana-mana kawasan yang bermula daripada bahagian ubun-ubun (bahagian awal kepala yang paling hampir dengan dahi) dan pelipis (bahagian muka di antara dahi dan telinga) seterusnya menuju ke kedua-dua belah belakang telinga (termasuk ruang yang tidak berbulu) dan berakhir di oksiput (hujung belakang berhampiran tengkuk) meliputi rambut dan kulit kepala.
(Rujuk al-Majmu’, 1/395)
Seterusnya cara bersuci, jika semua anggota wudhu` pesakit tidak berbalut dan hanya sebahagiannya tidak boleh dikenakan air.
a) Jika sebahagian besar anggota wudhu` (contohnya muka, kepala dan tangan ) boleh dikenakan air, hendaklah berwudhu` dengan dibasuh semua anggota yang boleh dibasuh dan disapu kepala.
b) Anggota yang tidak boleh dibasuh jika boleh disapu air di atasnya hendaklah disapu dengan air, jika tidak boleh disapu tidak perlu disapu.
c) Tunaikan solat dan solat tersebut tidak perlu diulang.
d) Jika sebahagian besar anggota wudhu` tidak boleh dikenakan air, hanya perlu bertayammum dan kemudian tunaikan solat serta tidak perlu diulang.
(Rujuk Panduan Bersuci Dan Solat Bagi Pesakit JAKIM, muka surat 39)
Kesimpulan berdasarkan soalan dan penerangan di atas, dahi tidak termasuk dalam kawasan kepala. Maka, sekiranya yang dimaksudkan membasuh dahi sebagai membasuh kepala berdasarkan soalan maka hukumnya tidak sah wuduk. Namun, sekiranya disapu sebahagian dari kawasan kepala seperti yang diterangkan di atas maka hukumnya sah. Sebagai penekanan, tidak diwajibkan membasuh keseluruhan kepala ketika wuduk dan diwajibkan sebahagian sahaja.
Seterusnya, sekiranya sedang membuat rawatan rambut yang menyebabkan kepala tidak boleh terkena air pada sebahagian kepala sahaja maka hendaklah disapu air di kawasan yang boleh terkena air (pada sebahagian kepala yang lain).
Sekian, terima kasih.