BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Apakah hukum saya buat kerja bersihkan kebun tapi kebun ada bau babi hutan yg lalu di  kawasan tersebut sebab kebun tak berpagar. Adakah saya kene samak sebeb bau babi yg melekat pada tanah pokok dan lalang yg sy bersih kan itu. Adakah saya kena samak tangan dan anggota yg mungkin tersentuh laluan babi tu.


message user image

Jawapan  


وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan soalan, pertamanya perlu dibezakan antara samak dan sertu iaitu:

Samak diambil daripada perkataan bahasa Arab, الدبغ yang bermaksud, kaedah menyucikan kulit haiwan yang boleh dimakan atau tidak, iaitu dengan menghilangkan darah, daging dan semua yang melekat pada kulit yang membusukkan jika tidak dibuang, dengan sesuatu alat yang tajam seperti tawas atau buah manjakani dan seumpamanya.

(Rujuk Matla’ al-Badrain, 25).

Bersertu pula adalah cara bersuci daripada najis mughallazah iaitu anjing dan khinzir dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satu padanya air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau najis hukmi. Sama ada terkena pada pakaian, badan, atau tempat.

(Rujuk al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja, 69).

Maka berdasarkan pernyataan di atas, perkataan sertu adalah lebih tepat dan sesuai bagi menjawab isu ini.

Namun begitu, hendaklah dibersihkan sekadar melalukan air sehingga hilang bau seperti cara membersihkan najis hukmiyyah bukan dengan kaedah sertu kerana pada hakikatnya sesuatu tanah akan dibersihkan oleh tanah yang lain. Hal ini berdasarkan hadis daripada seorang wanita dari bani Al-Asyhal:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّ لَنَا طَرِيقًا إِلَى ‌الْمَسْجِدِ ‌مُنْتِنَةً فَكَيْفَ نَصْنَعُ إِذَا مُطِرْنَا؟ قَالَ: أَلَيْسَ بَعْدَهَا طَرِيقٌ هِيَ أَطْيَبُ مِنْهَا قُلْتُ: بَلَى، قَالَ فَهَذِهِ بِهَذِهِ    

Maksudnya: Aku berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya jalan kami menuju masjid ada banyak kotoran, maka bagaimana yang patut kami lakukan jika hujan turun (sehingga menjadi jalan yang berlecak), Rasulullah berkata: Bukankah setelah jalan yang kotor masih ada jalan yang lebih bersih untuk menyucikannya. Aku berkata: benar. Rasulullah berkata: maka yang ini (jalan yang kotor) dengan yang ini (jalan yang bersih untuk menyucinya).

(Rujuk Musnad Ahmad, 45/433)

Seterusnya, kemungkinan tangan dan anggota yang terkena laluan babi itu masih lagi dalam perkara yang diragui maka perlu kembali kepada perkara yang pasti iaitu tiada ain najis yang melekat pada tangan atau anggota lain seperti bau, warna dan rasa. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh iaitu:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Rujuk Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 27

message user image