Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, Saya ada hadiri kursus umrah baru2 ini. Saya ada kemusykilan tentang apa yg disampaikan oleh penceramah di dalam kursus tersebut. Katanya jika seseorang itu tidak membayar dam haji atau umrah di dalam ihram kesannya sangat besar, Antara kesan yg dihuraikan oleh penceramah itu ialah,
1)Apabila suami isteri bersetubuh, ia akan menjadi zina
2) Anak yang telah dinikahkan menjadi tidak sah
3) Kesan akibat tidak membayar dam/dosa orang itu akan berlanjutan ke anak2 cucu sehingga orang itu selesai membayarnya
Jadi soalan Saya, adakah benar seperti apa yang dikatakan oleh penceramah tersebut?, sebab apa yang Saya tahu dalam Islam tiada istilah dosa keturunan dan kalau hukumnya jatuh zina seperti apa yg disebutkan oleh penceramah, penikahan antara suami isteri tersebut jadi terbatal?
Seterusnya, penceramah itu ada mengatakan Kita boleh pakai wangi wangian di badan kecuali pakaian di KLIA sebelum niat ihram. Katanya lagi pakai wangian di badan dibenarkan dan tidak perlu dibersihkan. Tetapi bukankah kalau Kita pakai wangi wangian di badan perlu dibersihkan terlebih dahulu apabila Kita hendak niat ihram sebab Nak elak dari larangan ihram?
Jawapan
Dam dalam ibadah haji atau umrah perlu dilaksanakan di tanah haram. Adapun pembayarannya di tanah air mahupun di tanah haram pada bila-bila masa, maka dibolehkan mengikut hukum syarak. Akan tetapi, urusan pelaksanaan dam kebiasaannya diwakilkan kepada pihak pengurusan Tabung Haji bagi memudahkan urusan para jemaah. Maka, pembayaran tersebut tertakluk pada tempoh yang ditetapkan oleh pihak TH bagi memudahkan urusan. Merujuk kepada persoalan:
1) Apabila suami isteri bersetubuh, ia menjadi zina
Bersetubuh merupakan salah satu daripada perkara yang dilarang ketika berihram. Walau bagaimanapun, bersetubuh ketika dalam ihram tidak menjadikan perbuatan tersebut sebagai perbuatan zina. Namun, mereka yang bersetubuh ketika berihram telah melanggar pantang larang ihram, berdosa besar dan dikenakan dam.
2) Anak yang dinikahkkan menjadi tidak sah
Jumhur ulama dalam mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali berpandangan bahawa pernikahan ketika dalam keadaan berihram adalah tidak sah, tidak kira sama ada orang itu adalah suami, atau isteri atau wali yang melakukan akad perkahwinanbagi orang yang diwalikannya ataupun wakil yang melakukan akad pernikahan bagi orang yang diwalikannya ataupun wakil yang melakukan akad pernikahan kepada orang yang diwalikannya. Terdapat perbezaan antara orang yang berada di dalam ihram dengan orang yang telah keluar daripada ihram tetapi belum selesai membayar dam.
3) Kelewatan membayar dam tidak menyebabkan anak dan cucu menanggung dosa tersebut. Dosa seseorang ditanggung oleh orang yang melakukan kesalahan tersebut.
Mengikut pandangan muktamad mazhab Syafi'i sunat untuk memakai wangian pada badan dan pakaian sebelum berniat ihram walaupun kesannya kekal selepas berniat ihram. Justeru, wangian tersebut tidak perlu dibersihkan dari badan atau pakaian jika dipakai sebelum ihram. Adapun jika dilakukan selepas ihram, maka hukumnya adalah haram dan pelakunya dikenankan bayaran sekiranya dilakukan dengan sengaja. Kata Imam al-Nawawi dalam kitabnya Rawdat al-Talibin:
Maksudnya: Disunatkan untuk memakai wangi-wangian untuk berihram sama ada ia akan meninggalkan kesan fizikal atau bukan selepas memasuki ihram, sama ada dilakukan oleh lelaki mahupun perempuan, dan inilah pandangan mazhab (Syafi'i).
Sekian, terima kasih.