BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz,

Saya ada membeli beg tangan daripada individu bukan Muslim yang memelihara anjing. Semasa proses COD, beliau sedang asyik membawa anjingnya berjalan di kawasan perumahan. Beberapa hari selepas itu, saya perasan terdapat banyak bulu putih di dalam beg tersebut, dan warnanya sama seperti salah seekor anjing (jenis husky putih) yang ada semasa COD.

Saya musykil sama ada bulu tersebut adalah bulu anjing dan adakah saya perlu menyertu beg ini. Ini kerana beg ini digunakan untuk urusan kerja harian dan sering dibawa ke masjid. Ia juga mengandungi barang berharga dan tidak sesuai untuk ditinggalkan di dalam kereta.

Mohon pencerahan. Terima kasih ustaz


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Soalan yang dikemukakan merupakan perbahasan mengenai perpindahan najis ketika bersentuhan. secara umumnya sesuatu najis itu tidak boleh berpindah melainkan dalam keadaan basah/lembap. Dalam erti kata lain, jika sesuatu najis itu dalam keadaan kering, maka ia tidak menajiskan sesuatu yang lain (yang juga dalam keadaan kering) yang bersentuhan dengannya. Sebagai contoh, jika tangan yang kering, menyentuh bahagian yang mengandungi bulu anjing dalam keadaan kering, maka tangan tersebut tidak dikira terkena najis.

Hal ini berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi bahawa tidak ada perbezaan di sisi kami (yakni ulama mazhab Syafi‘i) antara jilatan anjing dengan selainnya yang terdiri daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota daripada anggota badannya yang bersih ketika dalam keadaan basah (atau lembap) salah satunya, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu daripada basuhan itu dengan tanah.

(Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185).

Berdasarkan soalan, sekiranya tuan tidak yakin bahawa bulu tersebut adalah bulu anjing itu, maka tidak perlu menyertu kerana berpegang kepada hukum asal iaitu suci. Berdasarkan kepada kaedah Fiqh "Keyakinan (suci) tidak dapat dihilangkan dengan syak (bulu itu bulu anjing)". Berdasarkan penceritaan tuan, tuan sendiri syak sama ada bulu tersebut adalah bulu anjing atau selainnya kerana berkemungkinan bulu itu ada selepas proses COD atau bulu daripada haiwan lain selepas itu.

Sekalipuin itu adalah bulu anjing, cukuplah dengan hanya menyapu bulu-bulu tersebut dan menyedutnya melalui vakum atau seumpamanya. Perpindahan najis (bulu anjing) kepada sesuatu yang suci (beg) ketika persentuhan tidak berlaku jika kedua-duanya (yang disentuh dan yang menyentuh) dalam keadaan kering. Namun, jika salah satunya dalam keadaan basah/lembap maka wajiblah menyertu kawasan yang terkena najis (bulu anjing).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 1

message user image