Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan,
Saya ingin bertanyakan tentang darah istihadah kerana saya masih keliru dengan tarikh yang patut dikira sebagai bukan darah haid?
Masalah ini saya sedang alami sekarang, dan saya memerlukan penjelasan berapa hari yang perlu saya qada' puasa & solat.
Saya datang bulan pada 27 Feb dan berhenti pada 4 Mar. Pada 16 Mar, keluar darah kering. Adakah itu dikira darah istihadah?
Jika darah ini berterusan sehingga selepas 28 hari kitaran haid, maka hari ke 29, adakah darah itu dikira darah haid?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, cara menentukan haid dan istihadah adalah dengan mengenal pasti tempoh (tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam manakala tempoh minimum suci daripada haid adalah 15 hari) dan warna darah yang keluar seperti kehitaman, merah, kuning atau warna keruh dan berbau. Perkara ini boleh ditentukan dengan melihat kepada waktu kebiasaan haid. Sekiranya darah keluar seperti warna yang dinyatakan dalam tempoh kurang 15 hari, maka ia dikira haid. Sekiranya masih keluar darah pada hari ke-16, maka ketika itu ia dikira istihadah sehinggalah tamat tempoh minimum suci sebanyak 15 hari.
Berdasarkan tempoh yang dinyatakan, berikut adalah jadual perkiraan:
Tarikh | Bil. Hari | Kategori |
27 Feb - 4 Mac | 6 Hari | Haid (Perlu qadha puasa bagi tarikh 2-4 Mac) |
5 Mac - 19 Mac |
15 Hari (Minimum Suci Daripada Haid) |
Suci daripada haid. Jika keluar darah dalam tempoh ini dikira istihadah. Dalam tempoh ini, tiba-tiba keluar darah pada 16 Mac, ia dikira istihadah kerana darah keluar melepasi tempoh maksimum haid iaitu 15 hari (atau melepasi 13 Mac). Jika pada 16 Mac ini tidak solat dan tidak puasa kerana menganggap ia adalah haid, maka perlu qadha solat dan puasa. |
20 Mac Ke Atas | Haid Baru |
Oleh itu, pada 16 Mac tersebut darah yang keluar adalah dalam tempoh suci dan ia dikategorikan sebagai istihadah sehinggalah 20 Mac baru boleh dikira haid yang baru (jika keluar darah). Justeru, puasa dan solat yang perlu diganti adalah sebagaimana yang dijelaskan dalam jadual di atas.