Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Secara rutin, saya biasanya akan memasukkan jari ke dalam faraj untuk membersihkan keputihan (lebih seruas jari). Saya baru tahu bahawa perkara tersebut membatalkan puasa dan tidak melakukannya lagi ketika saya berpuasa. Namun begitu, saya secara tidak sengaja melakukan perkara tersebut ketika puasa ganti baru-baru ini kerana sudah terbiasa mencuci dengan cara tersebut.
Adakah puasa saya terbatal juga walaupun saya melakukannya dalam keadaan betul-betul terlupa dan cepat-cepat mengeluarkan jari ketika teringat hukum?
Terima kasih.
Jawapan
Ingin dijelaskan terlebih dahulu, cara yang betul untuk menyucikan dua kemaluan adalah memadai dengan hanya membersihkan bahagian permukaan luarnya sahaja dan tidak perlu sampai ke dalam bahagian kemaluan meskipun dengan hanya memasukkan seruas jari.
Antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka. Kemaluan depan dan belakang (qubul dan dubur) merupakan antara rongga yang terbuka. Had yang membatalkan puasa ialah had batin.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, sekiranya Puan memasukkan jari melepasi had batin faraj secara sengaja, hukum puasanya adalah batal, puasa di bulan Ramadan atau puasa qada'. Namun jika perbuatan memasukkan jari itu pada had zahir faraj sahaja, ia tidak membatalkan puasa. Dan jika memasukkan dalam keadaan terlupa bahawa sedang berpuasa maka ianya dimaafkan sebagaimana orang yang makan dalam keadaan dia terlupa bahawa dia sedang berpuasa.
Sekian, terima kasih