BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Jabatan Mufti Negeri Selangor. Saya mahu bertanya. Saya masuk solat pada rakaat keempat dan sempat membaca al fatihah sehingga ayat 7. Imam turun rukuk ketika saya sedang membaca "عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ". Ketika menghabiskan "ٱلضَّآلِّينَ, Amin" imam telah bangun iktidal. Adakah saya mendapat rakaat ataupun tidak.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat pada asalnya adalah wajib kerana ia merupakan sebahagian dari rukun solat. Ini berdasarkan hadis Yang diriwayatkan daripada 'Ubadan bin Somit RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: Tidak sah solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam situasi solat jemaah, makmum boleh dibahagikan kepada dua bahagian; muwafiq dan masbuk. Muwafiq ialah makmum yang sempat bersama imam ketika berdiri dalam tempoh masa yang mencukupi untuk membaca al-Fatihah dengan kadar bacaan yang sederhana. Bacaan sederhana tidak tertakluk kepada kepada bacaan imam mahupun imam, tetapi tertekluk kepada kadar bacaan yang tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu laju. Masbuk pula adalah sebaliknya. 

Makmum muwafiq boleh meneruskan bacaan al-Fatihah walaupun imam sudah rukuk selagi mana imam tidak mendahului dengan tiga rukun panjang. Contohnya, makmum yang sempat menyertai imam pada rakaat pertama dalam tempoh yang memadai untuk bacaan al-Fatihah secara sederhana, maka dia boleh meneruskan bacaan al-Fatihah selagi imam belum bangun dari sujud yang kedua. Atau selagi imam belum duduk untuk tasyahhud jika dia mula mengikuti imam pada rakaat kedua.

Adapun, jika makmum menyertai imam pada mana-mana rakaat ketika berdiri dalam tempoh yang tidak memadai untuk bacaan al-Fatihah dengan kadar bacaan yang sederhana, maka dia perlu rukuk bersama imam apabila imam rukuk dan tidak perlu menghabiskan bacaan al-Fatihah kerana dia dikira masbuk. 

Al-Khatib al-Syarbini dalam Mughniy al-Muhtaj 1/507-508 menyatakan:

(فَأَمَّا مَسْبُوقٌ رَكَعَ الْإِمَامُ فِي) أَثْنَاءِ قِرَاءَتِهِ (فَاتِحَتِهِ فَالْأَصَحُّ أَنَّهُ إنْ لَمْ يَشْتَغِلْ بِالِافْتِتَاحِ وَالتَّعَوُّذِ) أَوْ بِأَحَدِهِمَا (تَرَكَ قِرَاءَتَهُ) لِبَقِيَّةِ فَاتِحَتِهِ (وَرَكَعَ) مَعَهُ لِأَنَّهُ لَمْ يُدْرِكْ غَيْرَ مَا قَرَأَهُ (وَهُوَ) بِالرُّكُوعِ مَعَ الْإِمَامِ (مُدْرِكٌ لِلرَّكْعَةِ) كَمَا لَوْ أَدْرَكَهُ فِي الرُّكُوعِ فَإِنَّ الْفَاتِحَةَ تَسْقُطُ عَنْهُ وَيَرْكَعُ مَعَهُ وَيُجْزِئُهُ، فَإِنْ تَخَلَّفَ بَعْدَ قِرَاءَةِ مَا أَدْرَكَهُ مِنْ الْفَاتِحَةِ لِإِتْمَامِهَا وَفَاتَهُ الرُّكُوعُ مَعَهُ وَأَدْرَكَهُ فِي الِاعْتِدَالِ بَطَلَتْ رَكْعَتُهُ لِأَنَّهُ لَمْ يُتَابِعْهُ فِي مُعْظَمِهَا وَكَانَ تَخَلُّفُهُ بِلَا عُذْرٍ فَيَكُونُ مَكْرُوهًا

Maksudnya: “Adapun masbuq, apabila imam rukuk ketika dia membaca al-Fatihah, pandangan al-Asah, jika masbuq itu tidak memulakan solatnya dengan membaca doa iftitah dan ta‘awwudz, atau salah satunya (sebaliknya terus membaca al-Fatihah sebaik sahaja memasuki solat), dia boleh meninggalkan bacaan al-Fatihah (tidak perlu menyempurnakan al-Fatihah) dan rukuk bersama imam kerana makmum seperti ini tidak memperolehi (waktu untuk menyempurnakan bacaan al-Fatihah) melainkan kadar yang sempat dibacanya sahaja. Makmum masbuk seperti ini, dengan rukuknya bersama imam menjadikan dia mendapat rakaat tersebut sama sepertimana jika dia sempat mendapatkan solat ketika imamnya rukuk, di mana kewajipan membaca al-Fatihah padanya gugur, dia terus rukuk bersama imam dan rakaat tersebut diperolehinya. Jika makmum masbuk seperti ini menyelisihi perbuatan imam selepas membaca apa yang sempat dibaca kerana hendak menyempurnakan al-Fatihah sehingga dia terlepas rukuk bersama dengan imam dan sempat bersama imam ketika iktidal imam, maka rakaat tersebut batal (makmum tidak memperolehinya), kerana dia tidak mengikuti imam pada kebanyakan perbuatan solat. Kelewatannya dari mengikuti imam itu pula tidak termasuk dalam satu keuzuran (yang dibenarkan), maka makruh perbuatannya itu.”

Justeru, encik dikira mendapat rakaat tersebut dan tidak perlu menambah rakaat selagi imam tidak mendahului dengan tiga rukun besar sekiranya encik muwafiq. Adapun, jika encik masbuk dan tidak rukuk bersama imam ketika imam rukuk hingga imam sudah bangun untuk iktidal, maka encik perlu menambah satu lagi rakaat bagi menggantikan rakaat tersebut. Dalam menentukan seseorang makmum itu muwafiq atau masbuk, kembali kepada tempoh bacaan ketika makmum mengikuti imam dalam keadaan berdiri, iaitu tempoh tersebut cukup untuk bacaan al-Fatihah dengan kadar sederhana atau tidak cukup.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 18

message user image