Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum, ustaz. Saya dan isteri dalam perjalanan menziarahi ahli keluarga di satu tempat yang jaraknya melebihi 2 marhalah. Dalam perjalanan kami singgah dulu di suatu tempat (kurang 2 marhalah) dan bermalam selama 2 hari kerana isteri kena menghadiri kursus di situ. Pada hari ke-3, kami meneruskan perjalanan untuk menziarahi ahli keluarga tersebut (lebih 2 marhalah). Persoalannya, bolehkah kami jamak dan qasar solat sewaktu di tempat kursus isteri (2 hari) sebelum kami meneruskan perjalanan tersebut pada hari ke-3. Mohon pencerahan. Terima kasih. Wasalam.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Saudara dan isteri dalam perjalanan musafir melebihi dua marhalah untuk menziarahi ahli keluarga, namun singgah selama dua hari di satu tempat kerana isteri menghadiri kursus. Tempat tersebut hanyalah persinggahan sementara dan bukan destinasi akhir. Oleh kerana tempoh singgah kurang empat hari dan perjalanan masih diteruskan, maka status musafir masih kekal. Justeru, dibolehkan untuk menjamak dan mengqasarkan solat sepanjang berada di tempat kursus tersebut.
Sekian, terima kasih.