Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya Rider food delivery, bergerak lebih dari 100km setiap hari dan dalam kawasan penghantaran sekitar 20 km dari rumah saya. Rehat sekejap saya balik ke rumah dan sambung semula kerja rider.
Apakah saya layak untuk solat jamak dan qasar?
Boleh bantu saya.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya bagi keharusan mengambil jalan rukhsah iaitu jamak dan qasar dalam solat terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi, antaranya perjalanan tidak kurang dua marhalah (81 kilometer) bagi perjalanan sehala. Justeru, mengikut situasi yang tuan alami ia tidak mencukupi syarat yang telah disebutkan yang lalu kerana perjalanan tuan adalah bukan perjalan sehala iaitu perjalanan pergi dan balik yang melebihi 2 marhalah bersamaan 81 km. Dalam erti lain, perjalanan tuan setiap hari mencapai 100km tersebut adalah hasil dari penambahan perjalanan dari satu tempat ke tempat lain yang berdekatan. Oleh itu, tidak dibenarkan untuk tuan melakukan solat secara jamak dan qasar.
Sekian, terima kasih.